Kos anjur SUKMA 2026 dikurangkan hampir 50 peratus - EXCO Selangor

30 Apr 2026, 5:31 AM
Kos anjur SUKMA 2026 dikurangkan hampir 50 peratus - EXCO Selangor

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dikurangkan hampir 50 peratus kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta berbanding peruntukan asal RM100 juta oleh Kerajaan Selangor sebelum ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pendekatan itu diambil selaras usaha mengawal perbelanjaan tanpa menjejaskan fokus utama iaitu pembangunan atlet dan pencarian bakat baharu, selari dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ketika ini kita sedang merangka pelaksanaan pengurangan tersebut. Sebahagian besar pemotongan melibatkan acara bersifat upacara.

“Kita kecilkan skala dan pastikan kos digunakan sebaiknya untuk penganjuran SUKMA. Temasya ini bukan untuk meraikan ahli politik, sebaliknya untuk menghargai atlet serta potensi bakat muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi SUKMA 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Mohd Najwan berkata pengurangan itu antaranya melibatkan acara berunsur upacara seperti majlis perasmian yang tetap diadakan, namun dalam skala lebih sederhana dan bukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seperti dirancang sebelum ini.

“Dari segi venue memang ada perubahan termasuk majlis perasmian. Kita akan adakan di lokasi lain dengan skala lebih kecil dan menjimatkan.

“Majlis perasmian tetap perlu ada, namun kita pastikan ia bersifat sederhana dan simbolik. Perincian lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata kos penganjuran temasya dwitahunan itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, namun pihaknya turut meneroka kerjasama dengan KBS, khususnya dalam aspek perkongsian infrastruktur bagi mengoptimumkan kos.

“Setakat ini Kerajaan Negeri akan menanggung kos, namun kita juga berbincang dengan KBS untuk menilai keperluan perkongsian infrastruktur.

“Terdapat kemudahan yang sebelum ini dirancang untuk disewa dan kita sedang meneliti kemungkinan menggunakan fasiliti sedia ada milik Majlis Sukan Negara,” katanya.

Pada 20 April lalu, Sultan Sharafuddin mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.

Baginda bertitah cadangan itu dibuat berikutan penganjuran temasya dwitahunan berkenaan memerlukan peruntukan tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Mohammed Taufiq Johari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Pertemuan itu memfokuskan persiapan penganjuran temasya berkenaan dengan Selangor sebagai tuan rumah.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office, Baginda menzahirkan rasa sukacita terhadap hasil pertemuan itu serta berpuas hati dengan pendekatan berjimat yang diambil pihak penganjur.

SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah melibatkan 52 venue, manakala Para SUKMA merangkumi 10 jenis sukan dengan 316 acara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.