SHAH ALAM, 26 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memberi perkenan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat, umum Kementerian Belia dan Sukan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj memberi perkenan baginda selepas mendengar taklimat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis (23 April).
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menerusi kenyataan berkata keputusan meneruskan SUKMA Selangor 2026 mencerminkan keprihatinan Baginda terhadap pembangunan atlet muda negara.
“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Sultan susulan inisiatif perbincangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tinggi.
“Tambahan pula SUKMA 2026 ini adalah antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” katanya.
Mohammed Taufiq menambah, perkara itu turut dibincangkan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang memberi jaminan kerjasama penuh Kerajaan Negeri bagi memastikan penganjuran berjalan lancar.
“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Tuanku Sultan yang dijadualkan pada Rabu, 29 April, bersama-sama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran SUKMA 2026,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammed Taufiq berkata mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan pada Khamis, 30 April ini, akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan, terutama langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Tuanku Sultan.
Pada 20 April, Baginda mencadangkan penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
Susulan saranan Baginda itu, beberapa negeri antaranya Sarawak berharap temasya dwitahunan diteruskan selepas mengambil kira persiapan rapi termasuk latihan di luar negara, selain pelbagai kos telah dibelanjakan termasuk tempahan penginapan, logistik dan latihan atlet.
Sabah, Terengganu dan Kelantan juga berharap kejohanan tersebut dapat diteruskan walaupun dalam skala kecil, selepas mengambil kira persiapan hampir dua tahun sejak berakhirnya SUKMA 2024 di Sarawak.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala PARA SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara.








