SHAH ALAM, 26 APRIL: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang diteruskan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diyakini menyuntik semula semangat atlet negeri ini untuk mempamerkan prestasi terbaik.
Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi berkata semua atlet sudah bersedia untuk berjuang dalam temasya dwitahunan itu dan bertekad membantu Selangor meraih gelaran juara keseluruhan.
“Saya ucap terima kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan isu SUKMA ini. Saya berharap temasya ini dapat dijayakan secara berhemah dan memenuhi aspirasi Baginda Tuanku,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi memastikan penganjurannya tidak melibatkan kos tinggi, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri membuat beberapa pertimbangan termasuk menukar lokasi acara pembukaan SUKMA dari Litar Antarabangsa Sepang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Menurutnya, pertunjukan bunga api dan persembahan dron juga tidak perlu diadakan, selain memanfaatkan khidmat pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi persembahan kebudayaan.
“Kita mempunyai banyak universiti dan sekolah yang menawarkan kelas kebudayaan. Artis ternama juga tidak perlu membuat persembahan. Begitu juga dengan majlis penutup—biarlah diadakan secara sederhana tetapi tetap bermakna kepada semua,” katanya.
Selain itu, Abbas yang juga wakil rakyat Seri Serdang turut mencadangkan setiap kenderaan rasmi kontinjen menggunakan kenderaan elektrik (EV) sebagai langkah mengurangkan kos bahan api, selain tidak menganjurkan pertandingan golf jemputan yang lazimnya diadakan pada setiap kejohanan.
“Ini melibatkan kos yang besar. Mungkin kita boleh gantikan dengan acara jemputan yang lebih murah. Penjimatan ini boleh ditumpukan kepada keperluan serta pembangunan atlet. Saya harap saranan ini mendapat perhatian,” katanya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari memaklumkan Sultan Selangor memberi perkenan agar SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat selepas mendengar taklimat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lalu.
Sehubungan itu, beliau berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan pada Khamis, 30 April ini akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan, khususnya langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Tuanku Sultan.
Pada 20 April, Baginda mencadangkan penganjuran SUKMA Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin bertitah cadangan itu dibuat berikutan penganjuran temasya dwitahunan tersebut memerlukan peruntukan yang sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
Susulan saranan Baginda, beberapa negeri antaranya Sarawak berharap temasya itu diteruskan selepas mengambil kira persiapan rapi termasuk latihan di luar negara, selain pelbagai kos yang telah dibelanjakan seperti tempahan penginapan, logistik dan latihan atlet.
Sabah, Terengganu dan Kelantan juga berharap kejohanan tersebut dapat diteruskan walaupun dalam skala kecil, selepas mengambil kira persiapan hampir dua tahun sejak berakhirnya SUKMA 2024 di Sarawak.
SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA pula dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara.











