Selangor teliti semula waktu operasi Talian SEHAT, tingkat keberkesanan

27 Apr 2026, 4:08 AM
Selangor teliti semula waktu operasi Talian SEHAT, tingkat keberkesanan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia meneliti semula waktu operasi Talian Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi memastikan perkhidmatan kaunseling percuma yang ditawarkan lebih berkesan serta menepati keperluan semasa rakyat.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata penelitian semula itu perlu dilakukan memandangkan terdapat pertindihan dengan talian bantuan lain, selain bagi memperkukuh fokus perkhidmatan kepada kumpulan sasar tertentu.

“Ketika ini waktu operasi talian sedia ada hampir sama dengan talian bantuan lain seperti HEAL yang dikendalikan Kementerian Kesihatan, justeru terdapat keperluan penelitian semula waktu operasi.

“Kita ada rancangan bincangkan ubah waktu operasi atau fokus golongan tertentu seperti belia dan sebagainya,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad mengenai cadangan melanjutkan operasi Talian SEHAT kepada 24 jam.

Menurut Jamaliah, Talian SEHAT yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang menerima 604 panggilan sepanjang tahun lalu, dengan 25.6 peratus daripadanya melibatkan golongan belia.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi sehingga RM1,000 kepada individu yang disahkan mengalami masalah kesihatan mental serius.

“Tahun lalu seramai 15 pesakit menerima subsidi rawatan psikiatri dan psikologi dengan kadar maksimum sehingga RM1,000 dan daripada jumlah itu 50 peratus adalah golongan belia.

“Subsidi ini kepada individu yang disahkan mempunyai isu kesihatan mental serius dan memerlukan sesi rawatan dan ubatan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Kerajaan Negeri turut memperluaskan akses rawatan melalui Hab Kaunselor SEHAT yang menyediakan perkhidmatan kaunseling secara bersemuka.

“Sehingga 31 Mac lalu, terdapat 11 lokasi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) yang mengadakan Hab Kaunselor SEHAT,” katanya.

Talian SEHAT yang dibangunkan menerusi aplikasi SELangkah menyediakan sokongan psikososial dan kaunseling percuma oleh kaunselor berdaftar bagi membantu rakyat Selangor menguruskan kesihatan mental.

Kaunselor terlatih mengendalikan talian berkenaan dengan pendekatan komunikasi empati, pengurusan krisis serta pemahaman terhadap isu kesihatan mental yang dihadapi remaja dan belia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.