SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai langkah awal dan proaktif bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka meningkatkan risiko kebakaran hutan susulan cuaca panas dan kering.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Kerajaan Negeri menyediakan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) dan District Disaster Operation Centre (DDOC) yang dioperasikan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan semua Pejabat Daerah dan Tanah.
“Unit Pengurusan Bencana melalui SSOC beroperasi memantau indikasi petunjuk cuaca serta menyelaras komunikasi dengan DDOC dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani kejadian bencana.
“Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelbagai langkah intervensi awal bagi memastikan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut dapat diminimumkan sepanjang tempoh cuaca panas dan kering,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mengenai persediaan dan tindakan Kerajaan Negeri bagi mencegah kebakaran hutan ketika fenomena El Nino dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Tambah ADN Bandar Utama, sebuah alat pemadaman kebakaran tanah gambut 'Peat Fire X' juga ditempatkan di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi membantu operasi pemadaman kebakaran terbuka.
Menurut Jamaliah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan pemantauan dan penilaian risiko di tapak pelupusan sampah haram dan tanah gambut sebagai langkah pencegahan.
Sekiranya hutan simpan atau tanah gambut terbakar, katanya, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan membiayai kos pengaktifan dan pengepaman telaga air bawah tanah di bawah seliaan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tujuan pembanjiran kawasan.
“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) juga melaksana projek Sustainable Management of Peatland Ecosystems in Malaysia (SMPEM), bertujuan menguruskan tanah gambut secara mampan dan bersepadu.
“Operasi pencegahan kebakaran tanah gambut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam memastikan kebakaran tidak merebak dan kebakaran berskala besar tidak berlaku,” katanya.
Fenomena El Nino berintensiti kuat dijangka melanda dunia termasuk Malaysia, sekitar pertengahan tahun ini dengan kebarangkalian melebihi 70 peratus dan meningkat sehingga 80 hingga 90 peratus menjelang akhir 2026.
Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Fredolin Tajudin Tangang dilapor berkata, berdasarkan ramalan Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat, fenomena itu dijangka bermula sekitar Julai hingga Ogos.
Menurutnya, fenomena itu dijangka berkembang sehingga penghujung tahun dan awal 2027 sebelum beransur lemah pada Mac hingga April dan berakhir sekitar Mei tahun depan.








