SHAH ALAM, 22 APRIL: Lebih 8 juta pokok pelbagai spesies berjaya ditanam di seluruh Selangor sejak 2021, menghampiri sasaran Program Penanaman 11 Juta Pokok Negeri Selangor.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) merekodkan penanaman sebanyak 2,502,911 pokok, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah dan tanah (PDT) merekodkan 5,547,100 pokok.
“Program penanaman pokok masih diteruskan di semua peringkat dan JPNS akan menyelaras
maklumat penanaman yang telah ditanam oleh pihak institut pengajian tinggi, sekolah, PBT dan PDT bersama Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor (SCAC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid mengenai strategi dan status sasaran penanaman 11 juta pokok dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri menetapkan sasaran baharu iaitu penanaman 100,000 pokok sepanjang tahun ini yang akan dilaksanakan setiap PBT, PDT dan agensi kerajaan.
Menurutnya, JPNS turut mengambil tindakan pemantauan dan penyelenggaraan kepada pokok yang berisiko atau berbahaya terutama di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).
“PBT pula menggunakan Garis Panduan Landskap Negara Edisi 2.0 yang dibangunkan oleh Jabatan Landskap Negara sebagai panduan dalam penentuan jenis pokok dan tanaman lanskap serta kaedah penyelenggaraan,” katanya.
Isnin lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Kerajaan Negeri berada pada landasan tepat bagi menjamin kelestarian alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif seperti sasaran penanaman 11 juta pokok.
Program Penanaman 11 Juta Pokok Negeri Selangor yang dilancar pada 2021 menyasarkan pemuliharaan alam sekitar melalui kerjasama pelbagai agensi, selain bertujuan meningkatkan kawasan hijau dan menangani isu perubahan iklim.










