Naik taraf Muzium Kuala Selangor capai 20 peratus, siap September ini

27 Apr 2026, 3:37 AM
Naik taraf Muzium Kuala Selangor capai 20 peratus, siap September ini

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerja menaik taraf Muzium Sejarah Kuala Selangor kini sudah siap 20 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada September ini, bergantung kepada keadaan semasa, kata EXCO kebudayaan.

Datuk Borhan Aman Shah berkata projek itu melibatkan pembaikan hiasan dalaman, cara pameran dipersembahkan serta sistem pendawaian elektrik bagi menjadikan muzium lebih menarik dan selesa untuk pengunjung.

"Muzium Sejarah Kuala Selangor dibuka secara rasmi pada 29 Oktober 2002 dan mempamerkan sejarah pentadbiran awal negeri, namun sejak penubuhannya, ia tidak pernah melalui kerja naik taraf yang menyeluruh.

"Mengambil kira keadaan semasa bangunan dan keperluan untuk meningkatkan kualiti penyampaian pameran, muzium ini ditutup sementara bagi membolehkan pelaksanaan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf dilaksanakan.

"Usaha ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan muzium dapat berfungsi dengan lebih efektif sebagai medium pendidikan tidak formal serta sebagai salah satu tarikan pelancongan warisan," katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok Jefri Mejan berhubung perkembangan kerja naik taraf Muzium Sejarah Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Borhan memaklumkan bayaran tiket masuk yang dikenakan kepada pengunjung muzium hanya menampung kos pengurusan pemeliharaan tapak warisan itu sahaja.

"Bayaran tiket masuk ke muzium tidak mampu menampung pembangunan dan penyelenggaraan tetapi hanya untuk pengurusan sahaja.

"Pembaikan sedang dilaksana dan dengan adanya pembangunan lebih baik ia beri keselesaan kepada pengunjung selain memfokuskan beberapa muzium lain seperti Muzium Padi di Sabak Bernam," katanya.

Muzium Sejarah Kuala Selangor ditutup sementara sejak Januari lalu sehingga 10 Jun depan bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf bangunan.

Terletak di Bukit Malawati, Kuala Selangor, muzium tersebut merupakan bangunan lama yang juga bekas kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Muzium berkenaan menghimpunkan sejarah Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran negeri terawal selain meyaksikan bermulanya institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehuddin) pada 1766.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.