SHAH ALAM, 22 APRIL: Sebanyak 662 skim perumahan melibatkan 117,746 petak di seluruh Selangor masih belum menerima hak milik strata, kata EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah.
Beliau berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) giat mengenal pasti projek terlibat, khususnya perumahan kos rendah dan sederhana rendah.
“Bagi kes pemaju yang tidak lagi beroperasi, tidak dapat dikesan atau gagal melaksanakan tanggungjawab, Kerajaan Negeri melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) selaku pihak penyelaras atau pemudah cara membolehkan pemilik petak mengambil alih peranan pemaju melalui mekanisme yang diperuntukkan di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
“Dalam keadaan tiada Badan Pengurusan Bersama (JMB), COB boleh menyelaras penubuhan Badan Pengurusan Sementara (MC Pro-Tem) bagi mewakili pemilik untuk mengurus dokumentasi serta mengemukakan permohonan hakmilik strata kepada pejabat tanah,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung jumlah pangsapuri yang masih berdepan masalah pemilikan strata pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Borhan menambah, LPHS akan menganjurkan bengkel khas bagi memperluas hebahan mengenai fungsi dan pelaksanaan Dana Strata Selangor (DSS) kepada masyarakat.
Menurutnya, bengkel berkenaan akan dilaksanakan dengan penglibatan wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penduduk bagi memastikan penyampaian maklumat berkesan.
“Peranan DSS boleh digunakan untuk menampung kos berkaitan seperti penyediaan pelan strata, bayaran ukur serta yuran profesional bagi memastikan permohonan dapat diteruskan walaupun tanpa penglibatan pemaju,” katanya.
DSS merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bernilai RM10 juta yang dilancarkan pada 30 Mei tahun lalu untuk mempercepatkan penyelesaian hak milik strata yang tertangguh, khususnya bagi skim perumahan lama.
Dana ini disasarkan kepada lebih 130,000 unit petak yang bermasalah, diuruskan oleh LPHS, dan meliputi kos teknikal seperti pelan ukur serta urusan guaman.








