Pantai Bumi Hijau di Sabak Bernam bakal jadi tarikan baharu pelancongan

26 Apr 2026, 8:31 AM
Pantai Bumi Hijau di Sabak Bernam bakal jadi tarikan baharu pelancongan
Pantai Bumi Hijau di Sabak Bernam bakal jadi tarikan baharu pelancongan
Pantai Bumi Hijau di Sabak Bernam bakal jadi tarikan baharu pelancongan
Pantai Bumi Hijau di Sabak Bernam bakal jadi tarikan baharu pelancongan

SABAK BERNAM, 26 APRIL: Kawasan Pantai Bumi Hijau di sini, berpotensi menjadi destinasi rekreasi dan pelancongan baharu menerusi pelaksanaan projek menaik taraf secara berfasa dengan anggaran kos keseluruhan RM1.78 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perancangan itu melibatkan pembangunan di atas tanah kerajaan seluas enam ekar bagi fasa 1 dan empat ekar untuk fasa 2, dengan fokus mencantikkan kawasan pantai serta menaik taraf kemudahan sedia ada.

“Kerajaan Negeri melihat Pantai Bumi Hijau mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan yang lebih tersusun, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Sabak Bernam.

“Perancangan pembangunan ini bukan sahaja menumpukan kepada aspek fizikal dan kemudahan, tetapi turut mengambil kira manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat melalui peluang ekonomi dan keusahawanan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Amirudin berkata antara cadangan pembangunan termasuk penyediaan tapak caravan dan perkhemahan, gerai jualan atau kiosk, pembinaan arca ikonik serta platform jeti bagi menyokong aktiviti pelancongan.

Jelas beliau lagi, kemudahan lain yang dirancang merangkumi laluan pejalan kaki, tempat letak kenderaan berpusat, tandas awam, surau, jambatan gantung serta menara tinjau bagi menawarkan pengalaman lebih menarik kepada pengunjung.

“Dengan pelaksanaan secara berfasa dan perancangan rapi, kita yakin kawasan ini mampu menjadi tarikan baharu yang memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung serta memperkukuh daya saing pelancongan negeri,” katanya.

Tambahnya, perancangan itu turut melibatkan usaha memperkemas landskap pantai selain memperkenalkan tarikan baharu seperti konsep pasar terapung (floating market) yang berpotensi menjadi daya tarikan unik di kawasan berkenaan.

“Pendekatan pembangunan tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada keindahan fizikal, malah bertujuan membina ekosistem pelancongan menyeluruh dengan menggabungkan elemen alam semula jadi, aktiviti rekreasi dan peluang ekonomi kepada komuniti setempat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.