Insentif haji RM1,500 ringankan persiapan jemaah, tampung belanja keluarga

26 Apr 2026, 7:37 AM
Insentif haji RM1,500 ringankan persiapan jemaah, tampung belanja keluarga

AMPANG JAYA, 26 APRIL: Sumbangan insentif RM1,500 kepada jemaah haji Muassasah membantu meringankan persiapan mereka menunaikan ibadah serta menampung keperluan keluarga yang ditinggalkan.

Penerima, Farah Diana Mohd Bazain, 47, berkata bantuan itu amat bermakna terutama bagi menampung keperluan anak-anak yang masih bersekolah sepanjang beliau dan suami, Mohd Hisham Ramlee, 50, berada di Tanah Suci.

Farah Diana Mohd Bazain, 47,

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana ia dapat membantu lagi kami membuat persiapan saya. Untuk juga lebihan daripada persiapan, boleh membantu anak yang akan saya tinggalkan yang masih lagi bersekolah.

“Jadi ini boleh membantu anak-anak untuk semasa kami tiada di sini nanti,” katanya selepas majlis penyerahan Insentif Haji Muassasah 2026 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, di sini hari ini.

Seorang lagi penerima, Mohd Diah Dumpok, 58, berkata bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung perbelanjaan sepanjang berada di Mekah dan Madinah bersama isterinya.

Mohd Diah Dumpok, 58,

“Kami sangat bersyukur dengan sumbangan yang disampaikan moga dapat membantu urusan perbelanjaan kami semasa di tanah suci Mekah dan juga di Madinah. Insya-Allah kami akan gunakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan insentif kepada 236 bakal jemaah haji dari Parlimen Gombak melibatkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Beliau berkata seramai 6,000 jemaah haji Muassasah Selangor disasar menerima insentif itu tahun ini, dengan kira-kira 600 daripadanya dari Parlimen Gombak.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 Peringkat DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Ampang Jaya pada 26 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Jumlah ini telah kita tingkatkan sebenarnya daripada RM1,000 kepada RM1,500 pada 2026.

“ Kalau ada kesempatan, tahun hadapan atau 2028, insya-Allah kita boleh naikkan sampai RM2,000 sebagaimana yang direncana dalam 5 Janji 5 Teras dan 5 Tahun yang dikemukakan pilihan raya negeri yang dulu,” katanya.

Bakal jemaah haji gembira setelah menerima sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 Peringkat DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Ampang Jaya pada 26 April 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Program Insentif Haji Muassasah tahun ini melibatkan peruntukan RM9 juta dengan kadar bantuan dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM1,000 sebelum ini.

Permohonan dibuka dari 23 Februari hingga 15 Julai depan melalui Pejabat DUN atau penyelaras masing-masing.

Sejak diperkenalkan pada 2022, insentif itu telah memanfaatkan lebih 18,000 jemaah haji Muassasah Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.