AMPANG JAYA, 26 APRIL: Usaha Kerajaan Negeri melaksanakan projek mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko tinggi kini mula menunjukkan hasil positif apabila kejadian banjir dilaporkan semakin berkurang di lokasi terjejas sebelum ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara kawasan yang mencatatkan perubahan ketara ialah Bukit Lanchong, Subang Jaya yang sebelum ini dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ banjir.
“Bukit Lanchong adalah antara kawasan kerap banjir. Kawasan itu banjir teruk pada 2021 dan dalam tempoh satu tahun ke belakang, kita lihat kawasan itu kurang ataupun paling tidak, tidak ada banjir.
“Dalam insiden terbaru, tiada banjir kerana kita telah laksanakan pendalaman Sungai Klang yang telah meningkatkan 20 peratus kapasiti Sungai Klan setelah kita membuat ‘dredging’ ataupun pembersihan dasar sungai tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Insentif Haji Muassasah 2026 kepada 236 bakal jemaah melibatkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, di sini hari ini.

Menurut Amirudin, pencapaian pelaksanaan projek pada 2024 juga menunjukkan prestasi tinggi apabila hampir 99 peratus peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran telah dibelanjakan, mencerminkan pelaksanaan projek yang lebih tersusun dan berkesan.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pendekatan jangka panjang termasuk kerjasama kepakaran luar negara seperti Belanda, dengan projek rintis telah dimulakan di Sabak Bernam pada tahun lalu.
“Ada beberapa projek panjang, lama dan berkaitan dengan projek kerajaan. Seperti Sungai Langat Fasa 2 yang melibatkan RM1 bilion hingga kini masih di peringkat rekabentuk dan kita kena tunggu proses yang akan diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim akan memperincikan pelbagai pendekatan mitigasi banjir termasuk perkembangan projek di seluruh negeri dalam Sidang Dewan Negeri akan datang.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Kerajaan Negeri memberi tumpuan utama kepada penyelesaian isu banjir melalui pelan tindakan menyeluruh jangka pendek, sederhana dan panjang, termasuk mencadangkan penggunaan kepakaran luar seperti dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik.








