ad
EXCO

EXCO: Taska diarah tutup sepenuhnya susulan kematian bayi empat bulan

20 Jan 2025, 11:29 AM
EXCO: Taska diarah tutup sepenuhnya susulan kematian bayi empat bulan

SHAH ALAM, 20 JAN: Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan 3 Januari lalu diarahkan ditutup sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata arahan itu berikutan operator taska berkenaan akan menghadapi pendakwaan mengikut Akta Kanak-Kanak 2011.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak lain juga sudah diminta oleh JKM untuk menghantar anak masing-masing ke taska lain.

"Mungkin ada ibu bapa beranggapan ini (penutupan) bagi tempoh sementara sahaja tetapi menurut JKM, ia ditutup sepenuhnya.

"Difahamkan, kertas siasatan hampir selesai dan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat. Taska ini kekal ditutup kerana tidak berdaftar dan ada kes membabitkan Akta Kanak-Kanak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata dalam lawatan awalnya ke rumah ibu bapa bayi berkenaan, beliau dimaklumkan terdapat 25 kanak-kanak berada di taska terbabit yang dijaga oleh dua pengasuh.

Beliau berkata ia tidak menepati syarat ditetapkan JKM iaitu seorang penjaga bagi lima orang bayi berusia bawah 12 bulan.

Ketika ditanya adakah benar taska berkenaan dalam proses pendaftaran dengan JKM, Anfaal berkata semakan jabatan itu mendapati proses berkenaan belum dimulakan.

"Malah, dua pengasuh berkenaan juga tidak pernah menduduki latihan yang ditetapkan JKM untuk mereka layak menjadi pengasuh bertauliah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan taska berkenaan diarahkan ditutup pada 7 Januari lalu selepas JKM hadir membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi dalam kenyataan dua hari selepas itu mengesahkan terdapat unsur kecuaian yang dipercayai menyebabkan kematian bayi lelaki berkenaan dengan polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.