PGA tumpas kegiatan seludup vape ke Thailand, remaja 18 tahun ditahan

5 Jun 2026, 8:25 AM
PGA tumpas kegiatan seludup vape ke Thailand, remaja 18 tahun ditahan

SHAH ALAM, 5 JUN: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok elektronik atau vape dan kartrij cecair ke Thailand selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Kok Pauh, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 1.30 tengah hari, pasukan Strike Force Batalion 8 PGA menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 2,760 unit rokok elektronik pelbagai perisa serta 1,200 kartrij cecair vape daripada jenama sama

“Suspek warga tempatan terbabit dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan terbabit dalam urusan membawa produk vape itu ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Serkong, Pengkalan Kubor.

"Siasatan awal mendapati produk berkenaan dipercayai diperoleh dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum dihantar ke Kelantan menggunakan perkhidmatan kurier.

"Hasil risikan dan pemantauan berterusan, PGA berjaya mengesan aktiviti penyimpanan produk rokok elektronik yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke negara jiran," katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Radzi berkata semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM396,000 dan suspek telah diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.