Statistik penguatkuasaan KKM terhadap iklan, jualan vape dalam talian mengelirukan

3 Jun 2026, 2:58 AM
Statistik penguatkuasaan KKM terhadap iklan, jualan vape dalam talian mengelirukan
Statistik penguatkuasaan KKM terhadap iklan, jualan vape dalam talian mengelirukan
Statistik penguatkuasaan KKM terhadap iklan, jualan vape dalam talian mengelirukan

Kami yang terdiri daripada barisan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Persatuan / Pertubuhan Profesional Kesihatan di Malaysia seperti dalam senarai lampiran mengambil maklum terhadap kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 1 Jun 2026 berkaitan aktiviti penguatkuasaan KKM terhadap iklan dan penjualan produk vape secara dalam talian yang disyaki melanggar Akta Kawalan Produk Merokok dan Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah menimbulkan satu persoalan penting dari sudut ketelusan data dan keberkesanan penguatkuasaan tersebut.

KKM sebelum ini membentangkan statistik melibatkan 233,831 kesalahan boleh kompaun, antaranya I) kesalahan merokok di kawasan larangan merokok, II) kesalahan Orang Belum Dewasa (OBD) merokok, III) kegagalan mempamerkan papan tanda larangan merokok dan IV) kesalahan pemilik premis yang tidak mengambil langkah munasabah menghalang aktiviti merokok. Namun persoalan yang timbul ialah sejauh mana angka besar ini benar-benar menggambarkan tindakan terhadap iklan dan penjualan vape secara dalam talian yang menjadi fokus utama kebimbangan masyarakat hari ini?

Secara asasnya, statistik tersebut lebih banyak merujuk kepada kesalahan penggunaan dan pematuhan di lapangan, bukannya kesalahan pemasaran digital atau penjualan melalui platform e-dagang. Oleh itu, apabila statistik tersebut digunakan dalam kenyataan media yang menyentuh isu iklan dan jualan vape secara atas talian, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa angka keseluruhan penguatkuasaan sedang digunakan untuk menunjukkan ketegasan KKM walaupun tidak semestinya mencerminkan tindakan khusus terhadap ekosistem penjualan vape dalam talian.

Perkara yang sama berlaku terhadap statistik 4,226 kertas siasatan yang dibuka bagi kesalahan tidak boleh kompaun. Tanpa pecahan terperinci, masyarakat tidak dapat mengetahui berapa banyak daripada jumlah tersebut benar-benar melibatkan:

*Iklan vape di media sosial;

*Promosi vape oleh pempengaruhn(Influencer);

*Penjualan vape kepada OBD terutama melalui platform e-dagang;

*Penjualan produk vape kepada OBD di premis jualan vape;

Begitu juga dengan statistik 398 kes yang masih dalam pendakwaan dan 204 kes yang telah selesai dengan jumlah denda sebanyak RM1.189 juta. Angka ini kelihatan besar dari sudut penguatkuasaan, namun tanpa pendedahan kategori kes, masyarakat tidak dapat menilai sama ada tindakan tersebut benar-benar menyasarkan punca utama peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja atau sekadar tertumpu kepada kesalahan yang lebih mudah dikesan di lapangan.

Inilah jurang utama yang menimbulkan persoalan.

Jika benar sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan telah dilaksanakan, secara logiknya iklan dan penjualan vape secara dalam talian sepatutnya menunjukkan penurunan yang ketara. Namun realiti semasa menunjukkan sebaliknya. Produk vape masih mudah ditemui di platform media sosial dan e-dagang. Promosi menggunakan teknik pemasaran moden, dengan poster penjenamaan berwarna-warni masih berleluasa di platform tersebut. Malah terdapat dakwaan bahawa penjualan berlaku secara berselindung menggunakan kata kunci (Keyword) tertentu atau sistem pesanan peribadi yang menyukarkan lagi pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa penguatkuasaan terhadap ruang digital masih belum mencapai tahap yang benar-benar berkesan.

Lebih membimbangkan, statistik penggunaan vape dalam kalangan pelajar terus menunjukkan trend peningkatan. Pada tahun 2024, seramai 19,450 murid sekolah direkodkan terlibat dengan penggunaan vape berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan. ([Kosmo Digital][1])

Di Kelantan pula, walaupun penjualan vape telah diharamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesan 214 pelajar dan individu bawah umur 18 tahun terlibat dengan vape dalam tempoh hanya empat bulan pertama tahun 2026. Malah terdapat pelajar seawal usia 15 tahun yang dikesan menghisap vape di kawasan awam seperti kafe, kedai makan dan hentian bas ([Utusan Malaysia][2]). Adakah pelajar-pelajar ini mendapatkan vape secara dalam talian?

Apabila statistik penggunaan terus meningkat walaupun ribuan operasi penguatkuasaan dijalankan, masyarakat berhak bertanya sama ada strategi penguatkuasaan semasa benarbenar menyasarkan saluran utama bekalan vape kepada golongan muda.

Dalam konteks kesihatan awam, penguatkuasaan yang berkesan bukan sekadar mengeluarkan kompaun kepada pengguna atau pemilik premis. Ia perlu memutuskan rantaian bekalan dan pemasaran yang menjadikan produk tersebut mudah dicapai oleh golongan sasaran.

Jika iklan vape masih bebas muncul di media sosial, jika penjualan masih boleh dilakukan melalui platform dalam talian, dan jika remaja masih boleh mendapatkan produk tersebut dengan mudah, maka persepsi yang akan terbentuk ialah tindakan penguatkuasaan terhadap aspek digital masih rendah berbanding penguatkuasaan konvensional di lapangan.

Oleh sebab itu, KKM wajar mempertimbangkan untuk mendedahkan statistik yang lebih spesifik dan terperinci seperti:

*Jumlah iklan vape dalam talian yang telah diturunkan;

*Jumlah notis atau tindakan terhadap platform e-dagang;

*Jumlah akaun media sosial yang dikenakan tindakan;

*Jumlah kes penjualan vape kepada bawah umur melalui platform digital;

*Jumlah rampasan atau sitaan hasil operasi siber;

*Jumlah pendakwaan khusus berkaitan promosi dan penjualan vape dalam talian.

Tanpa pecahan data sedemikian, angka penguatkuasaan yang besar berisiko dilihat sebagai statistik umum yang tidak menjawab persoalan sebenar masyarakat mengenai keberkesanan kawalan iklan dan penjualan vape secara atas talian.

Akhirnya, dari sudut persepsi awam, isu yang timbul bukan semata-mata tentang berapa banyak operasi telah dijalankan, tetapi sama ada operasi tersebut berjaya mengurangkan akses remaja kepada vape. Selagi statistik penggunaan dalam kalangan pelajar terus meningkat dan penjualan secara digital masih rancak berlaku, akan terus wujud tanggapan bahawa penguatkuasaan terhadap iklan dan penjualan vape dalam talian masih lemah serta terlindung di sebalik statistik penguatkuasaan yang bersifat umum dan tidak diperincikan.

Kenyataan bersama oleh berapa NGO & berapa ahli MCTC

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.