BALIK PULAU, 4 JUN: Seorang pemandu lori dihukum penjara sehari, didenda RM8,000 dan lesen memandu digantung selama lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah dan memandu secara berbahaya pada Khamis lepas.
Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Chee Gang, 37, dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan menghina dengan menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pemandu kereta dengan niat untuk menyebabkan ketakutan kepadanya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kereta dalam keadaan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu maksimum lima tahun.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tun Dr Awang di sini, pada 11.27 pagi, 28 Mei.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK) Chester.
Chia menetapkan denda RM3,000 bagi kesalahan pertama, manakala penjara sehari, denda RM5,000, lesen diendorskan dan hilang kelayakan lesen memandu lima tahun bagi kesalahan kedua selain memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar kedua-dua denda berkenaan.
Pada 30 Mei, polis menahan lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung kejadian ugutan jenayah dan menunjukkan isyarat lucah yang videonya tular di media sosial.
Menerusi video berdurasi 58 saat itu, tertuduh yang memandu Perodua Myvi menunjukkan isyarat lucah sebelum memberhentikan keretanya di hadapan kereta mangsa lalu keluar dari kenderaan dengan membawa sebatang objek dipercayai besi dan menghayunkannya ke arah kereta mangsa.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, isyarat lucah, memandu, penjara, denda








