Peniaga didakwa memandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian remaja

3 Jun 2026, 3:52 AM
Peniaga didakwa memandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian remaja

KUALA TERENGGANU, 3 JUN: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki dalam kemalangan di Jalan Losong Feri pada Mei lepas.

Asrizal Hisham Khalid, 43, didakwa memandu kereta jenis Volkswagen GTI secara berbahaya sehingga berlakunya kemalangan yang menyebabkan kematian Wah Han Keong, 18, pada 3.36 petang, 19 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan hukuman hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin membenarkan Asrizal Hisham diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ameena Azzuhriyyah Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum ini, dilaporkan kereta Volkswagen GTI yang dinaiki lima sekeluarga telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) di tengah jalan.

Kereta itu kemudiannya masuk ke laluan bertentangan dan melanggar van yang dinaiki mangsa serta bapanya.

Kemalangan berkenaan menyebabkan tiang JKR tumbang dan tembus masuk ke dalam van sebelum menusuk kepala mangsa.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.