Raja Muda Selangor rasmi PPD Sabak Bernam baharu bernilai RM16.93 juta

4 Jun 2026, 9:05 AM
Raja Muda Selangor rasmi PPD Sabak Bernam baharu bernilai RM16.93 juta
Raja Muda Selangor rasmi PPD Sabak Bernam baharu bernilai RM16.93 juta

SABAK BERNAM, 4 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, berkenan menyempurnakan perasmian Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam menerusi Program Gagasan Rumpun Selangor di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir. Shukri Ishak berkata bangunan baharu itu dibina dengan kos RM16.93 juta dan mengambil masa 183 minggu untuk disiapkan, bermula 21 Julai 2021 sebelum siap sepenuhnya pada 19 Mac lalu.

“Projek ini turut membawa pembaharuan berani dengan mengetengahkan konsep "Industrial Design" sekali gus memberikan satu identiti visual yang unik, segar dan moden bagi bangunan di bawah portfolio Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Malah, bangunan ini merupakan bangunan PPD pertama di Malaysia yang menggunakan konsep ini bagi reka bentuk konvensional dalaman,” katanya ketika menyampaikan sembah taklimat pada Majlis Pelancaran PPD Sabak Bernam di hadapan DYTM Tengku Amir Shah.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima cenderahati ketika majlis perasmian Bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam di Bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam pada 4 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, bangunan tiga tingkat itu menempatkan 90 ruang yang merangkumi kawasan pentadbiran, bilik mesyuarat, stor penyimpanan maklumat, pejabat pengarah, ruang pejabat utama serta kemudahan menempatkan unit tangki air.

“Selain itu, keselesaan pelanggan dan keselamatan kakitangan sentiasa menjadi keutamaan JKR. Bangunan ini turut dilengkapi tiga kaunter urusan serta 11 pintu keluar bagi memenuhi standard keselamatan kecemasan yang tertinggi.

“Pihak JKR Selangor selaku agensi pelaksana amat berharap agar bangunan baharu ini dapat memberi impak yang signifikan terhadap mutu penyampaian perkhidmatan pendidikan di Selangor dan Sabak Bernam secara khusus,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam Marhani M Haniff ketika menyampaikan sembah ucapan turut menyingkap sejarah PPD Sabak Bernam yang mula beroperasi pada 1982 di Sekolah Kebangsaan Seri Makmur, Sungai Besar.

Katanya, pertambahan jumlah murid menyebabkan PPD Sabak Bernam dipindahkan ke lokasi lebih sesuai bagi memastikan keselesaan dan kelancaran operasi.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis perasmian Bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam di Bangunan Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam pada 4 Jun 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, pejabat itu kemudian berpindah ke tapak sedia ada pada 2013 dan beroperasi di bangunan sementara yang lebih teratur berbanding lokasi sebelumnya.

“Namun, bangunan itu mulai uzur selepas beberapa tahun digunakan, sekali gus memerlukan pembinaan premis kekal. Alhamdulillah, usaha membuahkan hasil apabila kelulusan pembinaan bangunan kekal diperoleh pada 2016 dan projek dilaksanakan oleh JKR Sabak Bernam.

“Bangunan baharu ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada 18 Mei 2026 untuk mula beroperasi. Kini, PPD Sabak Bernam mempunyai 71 kakitangan yang terdiri daripada 43 pegawai dan 28 ahli kumpulan pelaksana,” katanya.

Tambahnya, kemudahan serba lengkap itu akan menjadi nadi kepada pengurusan dan pentadbiran 64 sekolah di daerah ini yang meliputi 46 sekolah rendah serta 18 sekolah menengah, demi memastikan kecemerlangan berterusan 20,534 murid.

Fasiliti serba moden tersebut turut memperkasa peranan 2,242 guru dan 398 kakitangan kumpulan pelaksana di sekolah dalam mengekalkan serta mempertingkatkan kecemerlangan prestasi pendidikan daerah ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.