SABAK BERNAM, 4 JUN: Sabak Bernam bakal memperluas produk ekopelancongannya menerusi perancangan pembangunan resort berasaskan alam semula jadi, destinasi karavan dan motorhome serta pelbagai lokasi rekreasi bagi menarik lebih ramai pelancong tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar daerah itu.
EXCO Kemajuan Desa dan Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata pembangunan yang dicadangkan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Sabak Bernam sebagai destinasi yang menggabungkan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan.

“Terdapat perancangan untuk membangunkan resort pada masa depan. Resort ini akan berkonsepkan alam semula jadi dan dibina di kawasan paya bakau, sekali gus membolehkan pengunjung menikmati pengalaman bermalam dalam suasana hutan,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz melawat Pantai Bumi Hijau sempena Program Gagasan Rumpun Selangor di sini semalam.
Lawatan itu antara acara utama dalam rangka lawatan dua hari Raja Muda Selangor ke Sabak Bernam selain meninjau beberapa projek ekonomi berasaskan komuniti di daerah berkenaan.
Rizam berkata lawatan tersebut turut melibatkan aktiviti pemuliharaan termasuk pelepasan benih udang galah dan ikan serta program penanaman semula pokok bakau bagi memelihara ekosistem pesisir pantai sambil menyokong pembangunan pelancongan mampan.
Beliau berkata jumlah pengunjung ke Pantai Bumi Hijau yang menjadi sebahagian daripada segitiga pelancongan Sabak Bernam bersama Pantai Bagan Nakhoda Omar dan Kelong Paradise turut melebihi jangkaan.

“Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, jumlah pengunjung mencecah ribuan orang dari siang hingga malam dan ada kalanya melebihi 3,000 orang,” katanya.
Menurut Rizam, pantai itu menawarkan konsep berbeza berbanding destinasi pantai konvensional dengan memberi tumpuan kepada aktiviti rekreasi berorientasikan keluarga seperti berkelah, berkhemah, penginapan karavan dan motorhome serta kunjungan ke pasar terapung.
Beliau berkata kemudahan di lokasi itu turut dipertingkatkan dengan penambahan tandas awam, kawasan mandi, surau, gerai makanan serta stesen flying fox baharu.
“Kita juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak aktiviti rekreasi termasuk panjat tebing dan lain-lain,” katanya sambil memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi menyokong pembangunan Pantai Bumi Hijau.
Mengulas mengenai pelancongan karavan, Rizam berkata Selangor berhasrat mewujudkan beberapa destinasi motorhome di seluruh Sabak Bernam bagi membolehkan pelancong menghabiskan beberapa hari menjelajah lokasi menarik di daerah itu.
“Aspirasi kita bukan sekadar mempunyai satu tapak karavan. Kita mahu beberapa destinasi seperti yang dapat dilihat di negara seperti New Zealand.
“Pengunjung boleh bermalam di Sekinchan, kemudian di Pantai Bumi Hijau dan seterusnya di Pekan Sabak atau lokasi pelancongan lain,” katanya.
Beliau menegaskan setiap pembangunan pada masa depan perlu mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar dan kebersihan, khususnya dalam pengurusan sisa serta pemeliharaan ekosistem paya bakau.

“Cabarannya ialah memastikan pembangunan dapat dilaksanakan sambil mengekalkan kelestarian, kebersihan dan keindahan alam semula jadi. Inilah perkara yang semakin diberi perhatian oleh pelancong masa kini termasuk pelawat antarabangsa,” katanya.







