Ahli Geng TR diburu Interpol ditahan dalam penerbangan ke Thailand

4 Jun 2026, 3:40 AM
Ahli Geng TR diburu Interpol ditahan dalam penerbangan ke Thailand

SHAH ALAM, 4 JUN: Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ahli kumpulan jenayah terancang Geng TR berjaya ditahan dalam Op Lima selepas diburu pihak berkuasa dan tersenarai dalam Notis Merah Interpol.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk M Kumar berkata suspek berusia 46 tahun itu ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor.

"Suspek merupakan ahli Geng TR yang aktif melakukan jenayah kekerasan dan aktiviti dadah di sekitar Selangor sejak 2021.

"Penahanan dibuat kerana suspek disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata tangkapan itu hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand selepas suspek dikesan dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

"PDRM turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas kerjasama yang diberikan dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan serta menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod pelbagai kesalahan jenayah serius termasuk membunuh, rompakan berkumpulan menggunakan senjata serta menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Dalam pada itu, suspek akan didakwa hari ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.