SHAH ALAM, 4 JUN: Model pembangunan perumahan mampu milik Selangor terus mendapat perhatian antarabangsa apabila delegasi Wilayah Fergana, Uzbekistan mengadakan lawatan ke projek Rumah Idaman Bukit Jelutong semalam.
Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memaklumkan delegasi itu diketuai Gabenor Wilayah Fergana, Hayrullo Bozorov bersama Timbalan Gabenor Nuriddin Mamajonov serta Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Dr Karomiddin Gadoev.
Menurut PNSB, lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada delegasi mengenai pembangunan perumahan mampu milik yang dilaksanakan menerusi projek Rumah Idaman Bukit Jelutong.

Katanya, delegasi turut diberi penerangan berhubung pendekatan pembangunan yang diterapkan PNSB dalam menyediakan kediaman berkualiti dan berdaya huni untuk masyarakat.
"Kunjungan ini mencerminkan hubungan yang erat serta membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian amalan terbaik dalam aspek pembangunan perumahan, perancangan bandar dan pembangunan komuniti yang mampan antara kedua-dua pihak," kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PNSB berkata delegasi berkenaan turut diberikan taklimat mengenai konsep pembangunan, kemudahan yang disediakan serta pelbagai inisiatif yang menyokong agenda pemilikan rumah di Selangor.








