SHAH ALAM, 4 JUN: Dua kejadian gempa bumi lemah masing-masing bermagnitud 2.9 dilaporkan berlaku di Sabah dan Sarawak pada 2 Jun lalu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata gempa pertama berlaku di Ranau, Sabah pada jam 10.36 pagi dengan kedalaman 10 kilometer.
Menurut beliau, gempa itu berpusat pada latitud 6.07 darjah Utara dan longitud 116.58 darjah Timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kundasang, Ranau dan Kota Belud, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada hari sama, beliau memaklumkan satu lagi gempa bumi lemah bermagnitud 2.9 dengan kedalaman 10 kilometer direkodkan di Mambong, Sarawak pada jam 10.33 malam.
Menurut beliau, gempa itu berpusat pada latitud 1.32 darjah Utara dan longitud 110.39 darjah Timur.
“Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Samarahan dan Serian, Sarawak,” katanya.
Mohd Hisham berkata MetMalaysia akan terus memantau situasi itu dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang kerana kedua-dua kejadian yang dilaporkan adalah gempa bumi pada magnitud lemah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca dan gempa bumi terkini menerusi laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca serta saluran media sosial rasmi jabatan berkenaan.








