Lebih 10,000 sertai program bahasa asing percuma anjuran PPAS

3 Jun 2026, 5:00 AM
Lebih 10,000 sertai program bahasa asing percuma anjuran PPAS
Lebih 10,000 sertai program bahasa asing percuma anjuran PPAS

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Lebih 10,000 peserta menyertai program Language Discovery@Selangor Public Library yang menawarkan pembelajaran bahasa asing secara percuma sejak diperkenalkan ketika pandemik COVID-19.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata program kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu terus mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi antara inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sehingga kini lebih 10,000 peserta telah menyertai program ini yang menawarkan pelbagai kursus bahasa secara percuma yang dilaksanakan sejak pandemik, namun pada peringkat awal peserta dikenakan bayaran sekitar RM10 bagi setiap kelas.

“Kerajaan Negeri terus memperkukuh inisiatif program ini menerusi peruntukan RM500,000 dalam Belanjawan Selangor 2026. Antara bahasa yang ditawarkan ialah Mandarin, Arab, Perancis, Jerman dan Sepanyol,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan reruai Selangor Pavilion di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 2 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa lawatan ke Pavilion Selangor bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata seramai 3,000 individu telah menerima manfaat menerusi program pinjaman komputer riba percuma di bawah Skim Pinjaman Teknologi Asas (SEPINTAS).

Menurutnya, bantuan itu memberi tumpuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi serta usahawan muda yang memerlukan sokongan peralatan digital.

“Selain komputer riba, kemudahan kelengkapan meja turut disediakan tanpa sebarang kos kepada penerima menerusi program yang dikendalikan oleh PPAS,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.