KUALA LUMPUR, 2 JUN: Dato’ Menteri Besar meluangkan lebih sejam melawat beberapa reruai sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang tadi.
Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad sepanjang lawatan tersebut.
Beliau mengunjungi reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), The Patriots dan Pelita Dhihin, selain melawat Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Amirudin yang memegang portfolio pendidikan negeri turut beramah mesra dengan pengunjung dan meluangkan masa bergambar bersama orang ramai yang hadir ke pesta buku berkenaan.
Beliau turut menerima beberapa naskhah buku sebagai cenderahati daripada penerbit yang mengambil bahagian.
Dalam lawatan sama, Amirudin mengunjungi Pavilion Selangor yang dikendalikan PPAS serta menyaksikan sesi perkongsian komik oleh kartunis terkenal, Zid.
Ketika ditemui, Amirudin berkata penyertaan PPAS dalam PBAKL setiap tahun menjadi platform penting untuk memperkenalkan pelbagai produk dan inisiatif Kerajaan Negeri kepada masyarakat.

“Penglibatan PPAS di PBAKL setiap tahun bukan sahaja memperkenalkan produk Selangor kepada pengunjung, malah menjadi medium terbaik untuk mendekati masyarakat.
“Dengan kehadiran lebih 1.3 juta pengunjung ke PBAKL, ini merupakan peluang yang sangat baik untuk memperkenalkan penerbitan, program-program serta pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh PPAS kepada orang ramai,” katanya.










