SHAH ALAM, 1 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin mendoakan agar Seri Paduka Baginda sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, dilanjutkan usia dalam keberkatan serta terus berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT untuk memayungi negara serta memimpin rakyat dengan penuh kebijaksanaan dan wibawa.
“Sultan Sharafuddin turut menyokong dan menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong agar mana-mana individu yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Baginda.
Baginda turut menegaskan rakyat jelata, khususnya generasi muda, perlu memahami, menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai yang termaktub dalam Rukun Negara demi memastikan keharmonian serta keamanan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak pentadbiran Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong sentiasa dikurniakan keafiatan, kesejahteraan serta berada dalam limpah rahmat dan perlindungan Allah SWT.
“Merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Semoga Kebawah Duli Tuanku terus dikurniakan kebijaksanaan dan kekuatan untuk memayungi negara dengan penuh keadilan, hikmah dan kebijaksanaan demi kemakmuran Malaysia yang tercinta,” katanya menerusi Facebook.








