SHAH ALAM, 3 JUN: Kelemahan otot dan kurang melakukan aktiviti fizikal seperti senaman dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan warga emas kehilangan mobiliti serta keyakinan untuk bergerak aktif dalam kehidupan harian.
Pengarah Projek Amazing Seniors Rosemarie Tan berkata, ramai warga emas tidak menyedari perubahan fizikal yang berlaku apabila usia semakin meningkat sehingga menjejaskan pergerakan harian mereka.
“Ramai tidak sedar otot menjadi semakin lemah apabila kita tidak melakukan perkara yang sepatutnya untuk kekal aktif,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, program Bengkel Mobiliti untuk Warga Emas dianjurkan bagi memberi pendedahan lebih luas kepada warga emas mengenai tanda-tanda awal masalah pergerakan selain kaedah mengatasinya.

“Ia juga membantu mereka memahami bagaimana untuk terus bergerak aktif dan menua dengan lebih sihat serta berkualiti,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan program itu dijangka meningkat pada masa depan memandangkan kawasan Bukit Gasing dan Petaling Jaya mempunyai ramai penduduk warga emas.
“Ramai yang belum tahu apa itu program mobiliti, tetapi selepas sesi hari ini saya percaya lebih ramai akan faham kepentingannya,” tambahnya.
Tambah Rosemarie, warga emas perlu kekal aktif dan tangkas supaya dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih yakin serta berdikari.







