Tujuh cedera nahas dua bas persiaran, satu SUV di Jalan Genting Highlands

30 Mei 2026, 1:01 PM
Tujuh cedera nahas dua bas persiaran, satu SUV di Jalan Genting Highlands
Tujuh cedera nahas dua bas persiaran, satu SUV di Jalan Genting Highlands

KUANTAN, 30 MEI: Tujuh individu cedera dalam kemalangan melibatkan dua bas persiaran dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM15 Jalan turun Genting Highlands-Genting Sempah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.29 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands tiba di lokasi pada 6.06 petang.

“Sebuah bas yang membawa 36 penumpang yang terdiri daripada warga Nepal telah terbalik, mengakibatkan enam orang mengalami kecederaan. Sebanyak 34 penumpang dari Bangladesh dan Nepal yang menaiki satu lagi bas persiaran pula dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salahuddin berkata seorang daripada tiga individu yang berada di dalam SUV turut cedera, manakala dua lagi selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital. Pihak bomba telah melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di lokasi kejadian,” katanya.

-- BERNAMA

TAG: kemalangan, bas, Jalan Genting, Mohd Salahuddin, JBPM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.