Pendaki hilang: Rakaman kamera kesan Jaslinda bergerak menuju kem sukaneka

30 Mei 2026, 12:12 PM
Pendaki hilang: Rakaman kamera kesan Jaslinda bergerak menuju kem sukaneka

IPOH, 30 MEI: Pendaki wanita yang dilaporkan hilang Jaslinda Saludin, 49, disahkan bergerak menuju ke Kem Sukaneka di Gunung Batu Putih dekat Tapah, berdasarkan petunjuk penting daripada rakaman kamera pengawasan hidupan liar yang diperoleh hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata petunjuk terbaharu itu, diperoleh selepas cip kad memori daripada dua unit kamera pengawasan di puncak gunung diambil pada 10.15 pagi tadi.

“Terdapat rakaman imej mangsa (Jaslinda) telah melintasi Kamera 1 pada 11.22 pagi bertarikh 24 Mei 2026. Terdapat juga rakaman imej lapan anggota STORM JBPM dan seorang Malim Gunung Perhutanan melintasi Kamera 1 pada 5.15 petang, 25 Mei 2026, manakala tiada sebarang rakaman imej mangsa berpatah balik melintasi Kamera 1 itu.

“Bagi Kamera 2, tiada sebarang rakaman imej mangsa atau pasukan penyelamat melintasi Kamera 2 yang menuju Gunung Batu Bujang pada tarikh 24 dan 25 Mei. Sehubungan dengan itu, laluan ini disahkan tidak dilalui mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon. Foto BERNAMA

Beliau berkata penemuan pada Kamera 1 itu menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka, seperti penemuan jejak tapak kasut dan botol air sejak awal pencarian.

Sayani berkata terdapat dua simpang jalan selepas Kamera 1 iaitu laluan ke Kem Sukaneka, laluan ke water point atau punca air.

“Laluan ke water point telah dihalang dengan laluan kayu bagi menandakan ia bukan trek laluan. Rakaman Kamera 1 dapat menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka,” katanya.

Sementara itu, Sayani memaklumkan Pegawai Unit Dron JBPM Perak Mohamad Safwan Abd Halim telah mengalami kecederaan di peha, lutut dan buku lali setelah menjalankan pencarian bermula semalam, melibatkan lokasi dari Kem Kantoi menuju alur air ke Sungai Ayer Busok, serta menyusur sungai tersebut sejauh satu kilometer.

Beliau berkata Mohamad Safwan bersama tiga lagi penyelamat yang menghentikan pencarian di Puncak 2085 selepas bergerak membuat pencarian di sekitar Simpang Ite, telah dibawa keluar menggunakan teknik winching oleh pesawat AW139.

“Sebanyak 42 anggota penyelamat yang lain, termasuk pasukan yang bergerak dari Pos Musoh masih berada di lokasi dan menjalankan operasi pencarian,” katanya.

Tinjauan Bernama di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (Ops SAR) Gunung Batu Putih JBPM di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dekat sini hari ini mendapati, pasukan penyelamat membuat penelitian dan perbincangan terhadap rakaman tersebut kira-kira satu jam.

Sayani berkata setakat ini tindakan secara bersepadu dan terancang telah digerakkan bersama pelbagai pihak dan agensi dalam SAR itu.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan, memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada, 24 Mei (7.30 pagi).

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.