Penempatan semula Kampung Indian Settlement selesai - MB

29 Mei 2026, 2:05 PM
Penempatan semula Kampung Indian Settlement selesai - MB

GOMBAK, 29 MEI: Kerajaan Selangor telah menamatkan fasa terakhir proses penempatan semula Kampung Indian Settlement sekali gus membuka jalan kepada pembangunan semula kawasan itu menjadi sebuah perkampungan India yang lebih terancang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya dengan pemindahan kumpulan terakhir melibatkan 10 keluarga yang terjejas, menandakan penamatan proses penempatan semula yang berlarutan.

“Isu ini melibatkan pendudukan lot bukan milik asal yang bermula pada 2009, dan kumpulan ini merupakan kelompok terakhir yang diselesaikan selepas melalui beberapa proses secara berperingkat bagi memastikan penyelesaian lebih menyeluruh.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dengan kerjasama dan komitmen yang diberikan daripada penyelaras, pegawai daerah dan persatuan penduduk, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Permohonan Tanah Pertanian Buku Hijau Penduduk Gombak Kini Menjadi Realiti dan Notis 5A Kampung Indian Settlement di Dewan Beringin, Sri Gombak, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menyifatkan proses penempatan semula itu sebagai antara pencapaian bermakna Kerajaan Negeri, namun mengakui ia tidak dapat memuaskan semua pihak dengan segera dan perlu dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Beliau menambah, Kerajaan Selangor turut menjalankan kajian dan perancangan bagi memastikan pembangunan semula Kampung Indian Settlement dapat mewujudkan persekitaran lebih teratur dan selesa untuk penduduk.

Pada Disember lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi pembangunan semula Kampung Indian Settlement di Batu Caves dengan tumpuan menyediakan penempatan lebih selesa serta infrastruktur asas yang tersusun.

Projek yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu merangkumi pelebaran jalan sepanjang 2.5 kilometer (km), pemasangan lampu jalan serta pembinaan sistem saliran baharu bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

Susulan itu, kebanyakan penduduk termasuk lebih 40 keluarga yang terjejas telah bersetuju dengan pelaksanaan projek berkenaan dan akan dipindahkan ke Batu Arang sebagai sebahagian daripada penempatan semula yang dirancang Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.