MB: Keperluan hospital awam lebih mendesak di PJ, daerah lain turut diberi perhatian

29 Mei 2026, 1:34 PM
MB: Keperluan hospital awam lebih mendesak di PJ, daerah lain turut diberi perhatian
MB: Keperluan hospital awam lebih mendesak di PJ, daerah lain turut diberi perhatian
MB: Keperluan hospital awam lebih mendesak di PJ, daerah lain turut diberi perhatian
MB: Keperluan hospital awam lebih mendesak di PJ, daerah lain turut diberi perhatian

GOMBAK, 29 MEI: Keperluan pembinaan hospital awam baharu ketika ini lebih mendesak di Petaling Jaya berikutan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan berkenaan, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menteri Besar berkata cadangan pembinaan hospital itu amat diperlukan bagi menampung keperluan penduduk di kawasan seperti Old Town dan Taman Medan.

“Keperluan mendesak untuk hospital berkapasiti lebih besar ketika ini adalah di Petaling Jaya,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada peserta Program Buku Hijau di Taman Sri Gombak, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemudahan kesihatan di daerah lain seperti Kuala Selangor dan Sabak Bernam juga memerlukan penambahbaikan susulan pertambahan penduduk serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Amirudin berkata kerajaan negeri sudah membincangkan secara serius cadangan projek hospital baharu itu sejak tahun lalu menerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri.

Menurutnya, pihak berkuasa daerah turut ditugaskan mengenal pasti tapak alternatif selepas timbul kebimbangan terhadap kos tinggi bagi lokasi yang dicadangkan sebelum ini.

Beliau berkata kawasan di Taman Medan kemudian dipilih sebagai lokasi paling sesuai untuk projek berkenaan.

“Kawasan itu sesuai kerana dapat memberi perkhidmatan kepada lokasi berkepadatan tinggi seperti Old Town dan Taman Medan yang mempunyai kelompok masyarakat memerlukan sokongan lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata penduduk di kawasan seperti Morib dan Sepang masih berdepan kesukaran mendapatkan beberapa perkhidmatan kesihatan termasuk rawatan bersalin.

“Kuala Selangor sudah mempunyai hospital tetapi perlu dinaik taraf dengan kemudahan lebih baik. Di Morib pula, sebahagian penduduk masih mendapatkan rawatan bersalin di Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata projek pembinaan dan naik taraf hospital bagaimanapun berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala kerajaan negeri hanya membantu dari segi pengambilan tanah dan urusan berkaitan.

Amirudin berkata demikian ketika mengulas kenyataan penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, semalam yang menyatakan selain Petaling Jaya, kawasan lain seperti Hulu Selangor juga memerlukan kemudahan hospital kerajaan.

Pada 27 Mei lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan tapak seluas enam hektar di Taman Medan yang kini menempatkan kompleks sukan X Park PJ South dikenal pasti sebagai lokasi cadangan Hospital Petaling Jaya yang baharu.

Pada hari sama, Amirudin berkata hospital berkapasiti 500 katil yang akan dibangunkan secara konsep menegak itu menepati keperluan penduduk setempat dari segi aksesibiliti, kapasiti, kos tanah dan kedudukan berhampiran komuniti sekitar.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri dimaklumkan KKM mempunyai peruntukan bagi projek hospital berkenaan, namun beberapa proses termasuk pengambilan tanah dan kelulusan masih perlu diselesaikan sebelum pembinaan dapat dimulakan.

“Kita akan membantu memudah cara proses pengambilan tanah,” katanya.

Semalam, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata KKM masih boleh memohon peruntukan bagi projek hospital itu menerusi semakan peruntukan pembangunan kerajaan walaupun ia tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) asal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.