SHAH ALAM, 29 MEI: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang perikanan dan imigresen di perairan Selangor, Rabu lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berkata bot berkenaan ditahan kira-kira jam 5.30 petang ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin di kedudukan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Tengah.
Menurut Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 46 tahun.
"Semakan lanjut mendapati tekong bersama seorang kru memiliki dokumen pengenalan diri, manakala dua lagi kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka juga gagal mengemukakan permit atau surat kebenaran bekerja di atas bot berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan hasil perkongsian maklumat daripada Sistem Pemantauan Vesel (VMS) Jabatan Perikanan Malaysia mendapati bot terbabit berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Katanya, semua kru bersama bot dan hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 500 kilogram diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, termasuk menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran," katanya.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas dua kru didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Abdul Muhaimin berkata Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan syarat lesen. Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram," tegasnya.
Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 bagi tindakan segera.









