Maritim Malaysia tahan 15 PATI di perairan Port Dickson, rampas pistol, peluru

6 Mei 2026, 3:34 AM
Maritim Malaysia tahan 15 PATI di perairan Port Dickson, rampas pistol, peluru

SHAH ALAM, 6 MEI: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk seorang tekong, ditahan di perairan Port Dickson, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan yang melaksanakan rondaan rutin, berjaya memintas sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran, kira-kira 0.5 batu nautika barat daya Pantai Cahaya Negeri

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata ia hasil maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan.

‘Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun berada di atas bot itu,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata mereka ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.

"Selain itu, hasil pemeriksaan rapi ke atas bot terbabit turut menemukan sepucuk pistol jenama Colt yang telah dileraikan bersama lima butir peluru hidup," katanya.

Salehuddin berkata, semua tahanan dan rampasan itu kemudian dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Akta Senjata Api 1971.

"Maritim Malaysia menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kecemasan di laut melalui talian 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan melalui talian 06-3876730 untuk tindakan segera," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.