KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap hipokrasi dan kemunafikan masyarakat antarabangsa khususnya Barat yang dilihat gagal mempertahankan prinsip demokrasi serta keadilan dalam mendepani kezaliman berterusan rejim Zionis di Gaza dan selatan Lubnan.
Beliau berkata semangat demokrasi dan keadilan yang sering dilaungkan oleh negara Eropah dan Amerika Syarikat seolah-olah "pupus" apabila melibatkan isu penindasan terhadap rakyat Palestin serta Lubnan.
“Saya aneh dengan masyarakat antarabangsa ini, jika kita mahu mengharapkan Eropah dan Amerika Syarikat untuk meletakkan semangat demokrasi serta keadilan, ia sudah pupus sama sekali… ini kerana apabila penduduk Palestin di Gaza dan selatan Lubnan dizalimi, ia nyata tidak memberi kesan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah di sini hari ini.
Anwar berkata beliau telah menghubungi beberapa pemimpin dunia antaranya Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman Al Saud bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia.
Perdana Menteri berkata ia bagi menggesa semangat perpaduan dalam kalangan negara Islam diperkukuh untuk menghentikan keganasan dan permusuhan yang sedang berlaku.
"Itu yang saya sampaikan, Malaysia akan terus mempertahankan prinsip kebebasan dan menyatakan yang hak, sama ada bagi umat Islam yang tertindas mahupun manusia lain.
"Suara kita akan tetap tegas serta lantang kerana sehingga kini, belum nampak titik penyelesaian terhadap serangan bertubi-tubi ke atas Iran, selatan Lubnan dan Gaza," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata krisis bekalan global akibat ketidaktentuan geopolitik turut memberi kesan kepada ekonomi rantau ini termasuk Malaysia.
Beliau berkata walaupun negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan berada dalam keadaan aman, Malaysia tetap terjejas akibat kesan ekonomi yang tidak menentu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa barisan kepimpinan politik agar mengutamakan kebijaksanaan dan kewarasan dalam mentadbir selain menumpukan usaha sepenuhnya kepada membela nasib rakyat.
"Sebab itu, politik kita jangan terbawa-bawa dengan sentimen, harus tenang, ada kebijaksanaan, tumpu untuk membela nasib rakyat, bukan untuk menggila seperti yang berlaku di negara-negara barat," katanya.
-- BERNAMA








