KUALA LUMPUR, 26 MEI: Malaysia kekal dengan pendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan di Asia Barat, termasuk serangan dron serta operasi ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyampaikan pendirian itu kepada Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon, hari ini.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran Dr Masoud Pezeshkian, bagi menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran,” kata beliau menerusi catatan di laman Facebook hari ini.
Anwar berkata dalam perbualan tersebut, beliau turut menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman serta segala ketegangan dan pertumpahan darah dapat dihentikan menerusi jalan damai serta diplomasi yang bertanggungjawab.
Beliau juga merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz, baru-baru ini.
“Sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti inilah yang harus terus diperkukuh dalam hubungan antara negara,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Anwar berkata Masoud turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan pada peringkat antarabangsa.
Beliau berkata Presiden Iran itu turut mengundang beliau mengadakan lawatan ke Tehran, bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai.
“Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” kata Anwar.








