KUALA LUMPUR, 24 MEI: Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai satu perjanjian rangka kerja inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata sedia ada serta menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu juga perlu mengambil kira kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau berkenaan.
Beliau berkata Malaysia menerima petunjuk positif daripada pemimpin Asia Barat bahawa rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara AS dan Iran, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, sedang bergerak dalam landasan progresif.
“Saya melihat perkembangan ini dengan penuh harapan dan optimis. Malaysia menghargai peranan konstruktif yang dimainkan Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses ini.
“Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Trump dalam usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan. Kami berharap semua pihak dapat merebut peluang ini dan meneruskan rundingan sehingga mencapai satu penyelesaian yang berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump menerusi hantaran di media sosial semalam berkata perjanjian damai dengan Iran sedang dirangka, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz.
Anwar berkata Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.
Menurut seorang pegawai AS yang mengetahui draf perjanjian itu, AS dan Iran kini hampir memeterai lanjutan gencatan senjata selama 60 hari yang dijangka membuka semula Selat Hormuz, sekali gus membolehkan Iran menyambung semula penjualan minyak serta memberi ruang kepada rundingan mengenai program nuklear Tehran.
Cadangan perjanjian yang masih belum dimuktamadkan itu dijangka diumumkan seawal Ahad, lapor Anadolu Ajansi yang memetik portal berita Axios.








