SHAH ALAM, 28 MEI: Cadangan pembinaan hospital kerajaan di Petaling Jaya dilihat sebagai langkah positif namun keperluan fasiliti kesihatan serupa di Hulu Selangor juga perlu diberi perhatian serius.
Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata pembinaan hospital pakar kerajaan di daerah itu wajar dipertimbang bagi memenuhi keperluan penduduk semi urban dan luar bandar.
Menurutnya, Hulu Selangor yang meliputi hampir 20 peratus keluasan Selangor serta mempunyai kira-kira 300,000 penduduk masih belum memiliki hospital pakar kerajaan berskala besar.
“Cadangan pembinaan hospital kerajaan di Petaling Jaya merupakan perkembangan yang baik untuk rakyat namun dalam masa sama, keperluan kawasan lain yang tidak kurang pentingnya seperti Hulu Selangor juga perlu diberi perhatian.
“Kerjasama Kerajaan Negeri dan kerajaan pusat dalam mencari tapak hospital baharu wajar dihargai tetapi pembangunan kesihatan yang adil perlu mengambil kira kawasan yang jauh daripada akses rawatan,” katanya lapor MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Dr Sathia berkata situasi di Hulu Selangor jauh berbeza berbanding Petaling Jaya yang dikelilingi pelbagai fasiliti kesihatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hospital swasta dan pusat rawatan lain.
Katanya, penduduk Hulu Selangor masih bergantung kepada Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Slim River bagi mendapatkan rawatan pakar dengan jarak perjalanan antara 40 hingga 60 kilometer bergantung kepada lokasi penduduk.
Dr Sathia menambah, pertumbuhan pesat penduduk serta pembangunan kawasan perumahan dan industri baharu di Hulu Selangor dijangka terus meningkatkan keperluan terhadap sebuah hospital pakar kerajaan di daerah itu.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju dengan tapak cadangan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya berkapasiti 500 katil bagi menampung keperluan penduduk Petaling Jaya-Subang Jaya-Puchong.
Beliau berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu dengan hospital tersebut dibina secara vertikal seperti Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembinaan.
Susulan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tapak seluas enam hektar di X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai lokasi pembinaan hospital awam berkenaan.











