CYBERJAYA, 29 MEI: Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh agenda pelaburan bagi memperbesar “kek ekonomi” negeri supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata limpahan ekonomi hasil kemasukan pelaburan sebenarnya sudah mula dirasai masyarakat, terutama melalui pertumbuhan peluang pekerjaan, peningkatan kuasa beli dan perkembangan sektor perkhidmatan tempatan.
Menurut beliau, antara contoh paling jelas ialah pembukaan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Selangor pertama di Pusat Kewangan dan Korporat Puchong (PFCC) yang kini menempatkan 311 jurutera reka bentuk IC.

“Jika dikira berdasarkan gaji purata RM5,000 sebulan bagi 300 jurutera, ini bermakna terdapat kuasa beli sekitar RM1.5 juta sebulan di kawasan Bandar Puteri Puchong.
“Inilah yang kita maksudkan dengan saiz ‘kek ekonomi’ yang semakin membesar dan memberi impak kepada peniaga tempatan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor baru-baru ini.
Beliau berkata perubahan itu turut dapat dilihat melalui pertumbuhan perniagaan tempatan di kawasan berkenaan.
“Dahulu di PFCC hanya ada sebuah kafe, tetapi kini telah bertambah kepada tiga buah kafe bagi memenuhi trend gaya hidup golongan profesional muda ini. Mereka yang berada dalam rantaian perkhidmatan ini pastinya merasai kesan positif pelaburan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ng berkata komuniti perniagaan perlu lebih adaptif dan bersedia menyesuaikan model perniagaan dengan perubahan ekonomi moden sekiranya mahu terus menikmati manfaat daripada pelaburan berimpak tinggi.
Mengulas perkembangan sektor industri pula, beliau berkata pertumbuhan pesat pusat data di Selangor kini mewujudkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja mahir termasuk juruteknik elektrik bertauliah atau chargeman.
“Disebabkan penggunaan elektrik yang amat besar di pusat data, keperluan terhadap juruteknik bertauliah menjadi sangat kritikal.
“Jika mereka meningkatkan kelayakan daripada voltan rendah atau sederhana kepada voltan tinggi, nilai pasaran mereka akan menjadi sangat tinggi dengan tawaran gaji jauh lebih lumayan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan Selangor tidak hanya memberi tumpuan kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI), sebaliknya komited memperkukuh pelaburan domestik bagi memastikan rantaian bekalan industri negeri lebih lengkap dan mampan.
Menurut statistik, sebanyak 55 peratus daripada jumlah pelaburan direkodkan Selangor tahun lalu disumbangkan pelabur tempatan manakala baki 45 peratus melibatkan pelaburan asing.
Untuk rekod, Selangor mencatat nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM83.9 bilion pada 2025, jauh melepasi sasaran awal RM65 bilion sekali gus menjadi rekod baharu dan pencapaian pelaburan kedua tertinggi pernah direkodkan negeri itu.









