CYBERJAYA, 27 MEI: Selangor mempergiat usaha mengurangkan kebergantungan terhadap satu pasaran menerusi langkah membawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneroka pasaran serantau melalui Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) tahun ini.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata langkah itu juga bertujuan memperkukuhkan daya tahan ekonomi negeri dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu.
“Disebabkan itu, SIBS tahun ini memilih Bandung di Indonesia untuk mengadakan program satelit berbentuk forum yang memberi fokus kepada padanan antara kerajaan dan syarikat dari kedua-dua negara.
“Ia bukan persidangan berskala besar kerana dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini, kita perlu menggunakan setiap perbelanjaan secara berhemah,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, hala tuju perniagaan masa depan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pasaran tempatan Malaysia semata-mata, sebaliknya perlu melihat potensi pasaran Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira 600 juta penduduk.
Tambahnya, agensi promosi pelaburan negeri, Invest Selangor akan memberi tumpuan lebih besar kepada pasaran ASEAN pada masa depan.
Ia bukan sahaja dalam usaha menarik pelaburan berkualiti ke Selangor tetapi juga membantu syarikat sedia ada berkembang ke peringkat serantau.
Beliau berkata, program tersebut akan fokus pada sesi meja bulat, forum perniagaan dan lawatan tapak bagi membuka peluang kerjasama strategik antara syarikat.

SIBS perlukan pendekatan baharu
Mengulas pemilihan Bandung, Ng Sze Han berkata, SIBS kini berada pada tahap matang selepas berkembang dengan baik sejak diperkenalkan.
Katanya, Bandung dipilih kerana struktur ekonominya mempunyai banyak persamaan dengan Malaysia selain terkenal sebagai antara pusat pembangunan industri penerbangan di Indonesia.
“Dalam dunia perniagaan, tidak semestinya semua pihak perlu bersaing sepanjang masa. Melalui kerjasama, kita sebenarnya boleh membina pasaran yang lebih besar dan kukuh bersama-sama.
“Jika dari awal hanya mahu merebut pasaran, kerjasama itu mungkin tidak akan bertahan lama. Saya percaya sentiasa ada situasi menang-menang dalam dunia perniagaan,” katanya.

Ketidaktentuan global tingkat minat terhadap Selangor
Mengulas mengenai konflik Asia Barat, beliau berkata pengalaman syarikat Eropah menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan menjadikan mereka lebih berhati-hati daripada terlalu bergantung kepada satu pasaran atau sumber bekalan sahaja.
“Pasaran domestik di Eropah agak terhad, jadi banyak syarikat mereka mula mengembangkan operasi ke luar bagi memastikan rantaian bekalan tidak terganggu dan Selangor menjadi antara lokasi yang menarik perhatian mereka,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan Selangor merancang mengadakan lawatan rasmi ke Eropah tahun ini bagi memperkukuhkan hubungan serta memudah cara kerjasama antara syarikat berkualiti tinggi.

Untuk rekod, SIBS tahun lalu merekodkan potensi transaksi bernilai RM8.17 bilion sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara hab perdagangan dan pelaburan utama di Asia Tenggara.
Program anjuran kerajaan Selangor menerusi Invest Selangor itu melibatkan 740 gerai pameran dan menarik penyertaan seramai 56,938 pengunjung dari 89 negara.
Sebanyak 179 sesi seminar dan forum turut dianjurkan dengan penyertaan lebih 5,810 peserta.
SIBS merangkumi enam acara utama iaitu Ekspo Pelaburan dan Taman Industri Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SBAC), Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B), Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) serta Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS).









