Selangor cipta 61,000 peluang kerja dalam sektor berkualiti, berkemahiran tinggi tahun lalu

28 Mei 2026, 4:00 AM
Selangor cipta 61,000 peluang kerja dalam sektor berkualiti, berkemahiran tinggi tahun lalu
Selangor cipta 61,000 peluang kerja dalam sektor berkualiti, berkemahiran tinggi tahun lalu
Selangor cipta 61,000 peluang kerja dalam sektor berkualiti, berkemahiran tinggi tahun lalu
Selangor cipta 61,000 peluang kerja dalam sektor berkualiti, berkemahiran tinggi tahun lalu

CYBERJAYA, 28 MEI: Selangor mencatat pencapaian luar biasa dalam sektor guna tenaga apabila berjaya mewujudkan kira-kira 61,000 peluang pekerjaan baharu sepanjang tahun lalu.

Lebih membanggakan, peluang kerja yang ditawarkan bukanlah jawatan biasa, sebaliknya tertumpu kepada sektor berkualiti dan berkemahiran tinggi yang berjaya menarik minat golongan muda untuk terus menetap serta membina kerjaya di tanah air sendiri.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata, nilai pelaburan RM83.9 bilion yang dibawa masuk pada 2025 bukan sahaja melibatkan sektor teknologi tinggi, malah merangkumi bidang perkhidmatan seperti pusat data, logistik dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).

"Sektor GBS kini sangat memerlukan bakat tempatan dalam skala besar. Menariknya, peluang ini tidak hanya terhad kepada graduan teknikal, malah golongan muda berlatarbelakangkan bidang sastera seperti perundangan, perakaunan dan pengurusan perniagaan turut mempunyai kelebihan besar," katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, trend globalisasi dan pendigitalan yang semakin pesat menyaksikan banyak syarikat multinasional kini memilih Selangor sebagai lokasi ibu pejabat serantau atau hab perkhidmatan jabatan tertentu.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han ketika ditemu bual Media Selangor di Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM), Cyberjaya pada 19 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Jelas beliau, jika sebelum ini kebanyakan syarikat antarabangsa memilih Singapura sebagai hab serantau, namun faktor kos yang semakin meningkat di republik itu menjadikan Selangor sebagai alternatif yang jauh lebih menarik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Malah, ada syarikat multinasional memilih untuk menyerahkan (outsource) perkhidmatan mereka kepada syarikat tempatan, sekali gus membolehkan syarikat GBS tempatan berkembang besar dengan menawarkan khidmat profesional kepada firma luar negara.

"Ini membuktikan peluang pekerjaan di Selangor adalah inklusif, meliputi pelbagai bidang pengajian merangkumi graduan kejuruteraan, sains serta sains sosial," katanya.

Sze Han menegaskan, matlamat utama Kerajaan Negeri dalam mencipta peluang pekerjaan itu adalah bagi memastikan graduan universiti mampu memperoleh pendapatan yang lebih bermartabat dan selesa.

Beliau dalam pada itu mengakui Malaysia sudah terlalu lama terperangkap dalam kemelut "perangkap pendapatan sederhana" yang perlu diatasi segera.

"Kita sudah terlalu lama berada pada tahap pendapatan sederhana. Kita perlu berusaha melangkaui fasa ini kerana tahap gaji antara RM1,000 hingga RM2,000 adalah terlalu rendah dan sukar untuk menampung kos sara hidup asas pada masa kini," tegasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.