EXCO: Selangor kekal destinasi pelaburan paling selamat

15 Mei 2026, 3:07 AM
EXCO: Selangor kekal destinasi pelaburan paling selamat

PETALING JAYA, 15 MEI: Kestabilan politik, persekitaran perniagaan yang kukuh dan perancangan ekonomi yang baik menjadikan Selangor antara lokasi paling selamat dan menarik untuk pelaburan ketika dunia berdepan perubahan ekonomi dan geopolitik.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata perubahan ekonomi global menyebabkan banyak syarikat antarabangsa mula mengubah strategi pelaburan dan rantaian bekalan mereka, dengan Asia Tenggara kini menjadi pilihan utama.

“Fokus perniagaan dunia kini semakin beralih ke Asia Tenggara disebabkan konflik geopolitik dan perubahan ekonomi global.

“Asia Tenggara dilihat sebagai rantau yang lebih selamat untuk pelaburan, manakala Selangor mempunyai kelebihan dari segi ekonomi yang pelbagai, infrastruktur moden dan persekitaran perniagaan yang baik.

“Jika melihat masa depan, Selangor antara tempat yang mampu menawarkan pelbagai peluang pelaburan,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Selangor CXO Club Closing Gala’ di M World Hotel di sini malam tadi.

Sze Han turut menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemimpin perniagaan tempatan supaya merebut peluang dengan mengembangkan perniagaan ke pasaran Asia Tenggara dan tidak hanya bergantung kepada pasaran dalam negara.

Selangor CXO Club ialah program pembangunan kepimpinan dan perniagaan anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) bagi membantu syarikat pemula niaga dan PKS meningkatkan kemampuan perniagaan mereka.

Sze Han berkata program selama sembilan bulan itu membantu peserta seperti CEO, CFO, CTO dan CMO meningkatkan kemahiran kepimpinan serta perniagaan untuk menghadapi cabaran dunia perniagaan yang semakin mencabar.

“Selangor CXO Club bukan sekadar penamat sebuah program, tetapi menjadi asas untuk pertumbuhan perniagaan dan inovasi yang lebih kukuh pada masa depan.

“Kerajaan Negeri akan terus komited menjadikan Selangor sebagai hab utama perniagaan dan inovasi digital negara menerusi pelbagai inisiatif industri,” katanya.

Beliau berkata Sidec juga kini memperluaskan program pemecut perniagaan melalui model “triple accelerator” yang melibatkan DeepX, RetailX dan TokenX.

Menurutnya, DeepX memberi fokus kepada AI, teknologi mendalam dan syarikat teknologi berpotensi tinggi, manakala RetailX membantu PKS menjalankan pendigitalan dan transformasi sektor peruncitan.

“TokenX pula memberi tumpuan kepada industri Web3, aset digital dan fintech.

“Program selama 12 minggu ini direka untuk membantu syarikat kekal pantas dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Selain itu, Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan pemain industri seperti Boost, Cradle Fund, MVCA, TT Racing, KASEM dan Affin Bank untuk membantu pembangunan PKS.

“Menerusi kerjasama ini, peserta didedahkan dengan persediaan penyenaraian awam (IPO), pembiayaan perniagaan, peningkatan jualan dalam talian dan strategi pengembangan ke pasaran serantau,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.