KKM kenal pasti tapak hospital baharu di Taman Medan

27 Mei 2026, 4:54 AM
KKM kenal pasti tapak hospital baharu di Taman Medan

SHAH ALAM, 27 MEI: Tapak seluas enam hektar di Taman Medan yang kini menempatkan sebuah kompleks sukan moden berpotensi membantu memenuhi keperluan mendesak pembinaan hospital awam baharu bagi penduduk berkepadatan tinggi di koridor Petaling Jaya-Subang-Puchong.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata mesyuarat teknikal antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini mengenal pasti kompleks dikenali sebagai X Park PJ South itu sebagai lokasi berpotensi untuk kemudahan berkenaan, lapor MalaysiaKini.

“Tapak seluas 15 ekar itu terletak di lokasi strategik untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti sekitar khususnya golongan B40. Selain kos tanah yang lebih rendah, kawasan itu juga cukup luas untuk menyediakan kemudahan parkir mencukupi bagi mengelakkan masalah kesesakan seperti di hospital lama.

“Sebagai langkah pelaksanaan segera, saya telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk turun ke tapak minggu ini bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian lokasi.

“KKM dan Kerajaan Selangor akan terus bekerjasama rapat bagi memastikan semua urusan teknikal dapat diselesaikan segera demi manfaat penduduk Petaling Jaya dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM merancang membina hospital berkapasiti 500 katil dengan lima bidang kepakaran di tapak tersebut, menggunakan Hospital Ampang sebagai penanda aras.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai desakan semakin meningkat supaya kerajaan membina hospital baharu bagi menampung keperluan penduduk padat di Petaling Jaya, Puchong dan Subang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kos tanah yang tinggi menjadi antara cabaran utama untuk membina hospital awam di kawasan berkenaan.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri bersama KKM masih meneliti beberapa lokasi sesuai memandangkan tapak yang dikenal pasti sebelum ini terlalu mahal atau jauh daripada kawasan sasaran penduduk.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata pihaknya terpaksa membatalkan rancangan awal untuk mengambil alih tanah milik persendirian berhampiran Jalan Klang Lama kerana kosnya terlalu tinggi.

Beliau menegaskan KKM perlu berbelanja secara berhemah kerana kementerian mahu membina hospital yang selesa serta dilengkapi teknologi perubatan moden.

“Namun, KKM tidak akan mengambil jalan mudah dengan memindahkan hospital ini ke lokasi yang jauh semata-mata untuk menjimatkan kos.

“Kebajikan dan kemudahan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.