SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan memperketatkan pemantauan bagi mengekang penjualan rokok elektronik atau vape yang mengandungi ‘furanyl fentanyl’ di pasaran tempatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata setakat ini kebanyakan kandungan dadah yang dikesan dalam cecair vape berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar negara, lapor Berita Harian.
“Jika vape yang mengandungi dadah itu bukan daripada syarikat berdaftar di negara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama dengan beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkaitan.
“Ia bagi memastikan sebarang produk tidak berdaftar atau yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras segera,” katanya pada sidang media Sidang Kemuncak Kesihatan Asia (HSA) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Hanifah berkata laporan penggunaan vape yang mengandungi bahan sintetik berbahaya itu pernah dikesan di luar negara dan berupaya mengakibatkan komplikasi kesihatan serius kepada pengguna.
“Saya kurang pasti sama ada ‘vape zombi’ sudah wujud di Malaysia, namun saya pernah mendengar mengenainya di luar negara. Ia boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan seseorang.
“Oleh itu, penting untuk kita sentiasa memantau ahli keluarga dan memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara seperti ini kerana ia boleh memusnahkan kehidupan mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas penganjuran HSA 2026, Hanifah menyifatkan program itu sebagai pemangkin perubahan dalam mengetengahkan inovasi semasa serta menangani cabaran paling kritikal dalam sektor kesihatan masa kini.
“Program ini membawa visi kesihatan yang lebih adil, inklusif dan mampan untuk Malaysia. Ia menyokong transformasi negara ke arah sistem kesihatan yang dibina atas asas daya tahan, kesiapsiagaan dan kesejahteraan masa depan rakyat.
“Semua pihak digesa memanfaatkan peluang ini untuk saling belajar, berkongsi kepakaran dan bekerjasama dalam membina Malaysia yang lebih sihat dan lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.







