GEORGE TOWN, 21 MEI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan dua rakan dan merampas pelbagai jenis dadah serta cecair vape mengandungi dadah, bernilai RM88,725.50 dalam dua serbuan di Seberang Perai Utara, di sini Isnin lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata dalam operasi bermula 9 pagi hingga 6 petang itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan masing-masing berusia 36 dan 42 tahun, yang dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah serta cecair vape mengandungi dadah.
“Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, menahan seorang lelaki di parkir sebuah kawasan perumahan sebelum membawa polis ke sebuah rumah di lokasi sama.
“Hasil pemeriksaan di kediaman itu, polis menahan seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah antaranya 123 kartrij disyaki mengandungi cecair syabu seberat 1,348.36 gram (g), 11 paket plastik mengandungi serbuk MDMA (396g), tiga paket ketamin (2.55g) serta 70 biji pil Erimin 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, beliau berkata polis turut merampas lima peranti elektronik dan siasatan mendapati dua suspek tersebut merupakan ahli sindiket pengedaran dadah termasuk vape mengandungi dadah, yang dikenali sebagai “piau piau”.
Azizee berkata siasatan mendapati sindiket itu aktif mengedar dadah sejak Mac dan bekalan dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan 300 penagih.
Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif methamphetamine, manakala kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Polis turut menyita Toyota Altis dan Toyota Estima masing-masing bernilai RM55,000 serta wang tunai RM1,069 dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan bernilai RM199,794.50,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang bekerja sebagai jurujual itu, direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Azizee memaklumkan sebanyak 115 kes melibatkan vape disiasat, dengan 207 tangkapan dibuat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 di Pulau Pinang sehingga Mei ini.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kegiatan penjualan dan pengedaran dadah melalui vape dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Farmasi Pulau Pinang bagi membanteras penyalahgunaan dadah menggunakan kaedah vape.







