Aidiladha medan perkukuh perpaduan, kebajikan rakyat Selangor

27 Mei 2026, 3:13 AM
Aidiladha medan perkukuh perpaduan, kebajikan rakyat Selangor

SHAH ALAM, 27 MEI: Semangat pengorbanan, perpaduan dan keprihatinan terus menjadi teras sambutan Aidiladha di Selangor apabila rakyat digalak memperkukuh budaya saling membantu serta berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata takbir Aidiladha yang bergema setiap tahun mengingatkan umat Islam terhadap nilai keikhlasan, ketaatan dan pengorbanan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Di Selangor, semangat inilah yang menjadi pasak kekuatan kita untuk saling membantu, berkongsi rezeki dan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada limpahan rahmah,” katanya menerusi perutusan Aidiladha hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan ibadah korban bukan sekadar tuntutan agama, malah menjadi medium menyuburkan nilai perpaduan dan kepedulian sesama jiran tetangga serta komuniti.

“Menerusi ibadah korban yang dilaksanakan, mari kita suburkan nilai perpaduan dan kepedulian sesama jiran tetangga serta komuniti,” katanya.

Amirudin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam bagi pihak keluarga dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Semoga ibadah kita diberkati,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.