SUBANG JAYA, 27 MEI: Sebanyak 1,474 kes demam denggi direkodkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sehingga Minggu Epidemiologi ke-19 tahun ini, dengan lima lokaliti dikenal pasti sebagai hotspot wabak.
Lokaliti terlibat ialah USJ 3/2, Taman Pinggiran USJ 2, Taman Sungai Besi Indah (Flat Lama), Taman Bukit Serdang 5 dan Batu 13 Kampung Tengah A.
Datuk Bandar Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata MBSJ bersama agensi berkaitan telah memperhebat operasi kawalan termasuk pemeriksaan tempat pembiakan Aedes, semburan larvasid dan pengasapan di kawasan terlibat.
“Langkah ini dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan denggi terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya dalam Mesyuarat Penuh MBSJ semalam.
Beliau turut menggesa penduduk memainkan peranan dengan mengamalkan langkah ‘Cari dan Musnah’, mengaktifkan gotong-royong serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala demam.
Menurutnya, MBSJ akan terus memperkukuh pemantauan dan tindakan kawalan bagi memastikan penularan wabak dapat dibendung secara berkesan.








