SHAH ALAM, 1 MEI: Sebanyak 1,098 kes positif demam denggi direkodkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-15 tahun ini.
Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, lima lokaliti titik panas turut dikenal pasti, sekali gus menunjukkan penularan wabak itu masih berada pada tahap serius dan memerlukan perhatian semua pihak.
“Hasil pemantauan yang dilaksanakan, lima lokaliti titik panas dikenal pasti iaitu Taman Pinggiran USJ 1, Bandar Kinrara 4, Taman Bukit Serdang 5, Taman Pinggiran USJ 2 (Pangsapuri Sri Kayan) serta Batu 13, Kampung Tengah A.
“Situasi ini menunjukkan bahawa penularan wabak denggi masih berada pada tahap serius dan memerlukan perhatian semua pihak,” katanya ketika berucap pada mesyuarat bulanan MBSJ, kelmarin.

Amirul menambah, pihaknya menjalinkan kerjasama rapat dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PPD) Petaling dalam melaksanakan pemeriksaan premis untuk mengesan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Tindakan pencegahan termasuk melaksanakan aktiviti larvasiding serta semburan pengasapan (fogging). Usaha ini akan terus dipergiatkan secara berterusan bagi membendung penularan wabak denggi daripada terus meningkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar bersama-sama membantu MBSJ dalam usaha mencegah wabak melalui amalan gotong-royong dan menjaga kebersihan persekitaran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala demam bagi mengelakkan komplikasi serius.









