SHAH ALAM, 1 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkukuh disiplin kewangan dengan melaksanakan langkah kawalan perbelanjaan bagi memastikan setiap dana awam dibelanjakan secara telus, cekap dan berhemah.
Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata langkah itu penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global selain memastikan setiap perbelanjaan memberi impak optimum kepada rakyat.
“Antara langkah yang akan diberi penekanan termasuk kawalan lawatan rasmi luar negara, program dan majlis rasmi, kawalan aset serta utiliti, perolehan dan perbelanjaan mengurus/pembangunan.
“Selain itu, penjimatan juga melibatkan kawalan perjalanan dan pengurusan mesyuarat serta pelaksanaan perbelanjaan berasaskan prinsip 'value for money',” katanya ketika berucap pada mesyuarat bulanan, kelmarin.
Menurutnya, keutamaan terhadap pengurusan kewangan yang berdisiplin penting bagi memastikan dana awam digunakan secara optimum serta memberi manfaat dan nilai terbaik kepada masyarakat.

“Dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar, setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti supaya hasilnya benar-benar dirasai rakyat.
“Justeru, MBSJ akan terus menitikberatkan tatakelola kewangan yang berintegriti, cekap serta berasaskan prinsip 'value for money',” katanya.
Amirul berkata pelaksanaan langkah itu berpandukan arahan dikeluarkan Perbendaharaan Negeri Selangor menerusi Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Negeri Selangor bertarikh 9 April lalu.
“Sehubungan itu, MBSJ telah membentangkan pelaksanaan arahan ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan pada 21 April dan bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya langkah-langkah penjimatan yang digariskan berkuat kuasa serta-merta,” ujarnya.
Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berdepan peningkatan kos operasi sehingga 20 peratus susulan kenaikan harga tenaga dan bahan api.
Menurutnya, tekanan kos itu memberi kesan langsung kepada kedudukan kewangan PBT yang terpaksa menyesuaikan semula perbelanjaan selepas belanjawan tahunan dirangka lebih awal.
Beliau berkata peningkatan kos antara 15 hingga 20 peratus itu melibatkan pelbagai komponen utama termasuk pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan infrastruktur, kerja landskap serta operasi logistik harian.








