Loji WTE Jeram 2 capai 87 peratus kemajuan, dijangka siap hujung tahun ini

25 Mei 2026, 2:30 PM
Loji WTE Jeram 2 capai 87 peratus kemajuan, dijangka siap hujung tahun ini

KUALA SELANGOR, 25 MEI: Projek loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 2 dijangka siap sepenuhnya antara November hingga Disember tahun ini sekali gus memperkukuh kapasiti pengurusan sisa dan penjanaan tenaga lestari di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) R Rajiv berkata projek berkenaan kini mencapai tahap kemajuan 87 peratus dan mampu menjana tenaga sehingga 25 megawatt (MW).

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) R Rajiv ketika sidang media selepas lawatan jawatankuasa itu ke loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“WTE Jeram 2 dijangka siap hujung tahun antara November dan Disember. Untuk Tanjung 12, Kuala Langat pula sedikit lewat, kira-kira dua tahun lagi untuk siap.

“Jumlah keseluruhan kuota pengeluaran tenaga bagi loji yang diuruskan Worldwide adalah 90MW, dengan WTE Jeram 1 dan 2 menyumbang 50MW manakala Tanjung 12 sebanyak 40MW,” katanya selepas mengadakan lawatan ke WTE Jeram 1 di sini, hari ini.

Selangor sebelum ini mencipta sejarah apabila loji WTE Jeram 1, yang juga fasiliti terbesar seumpamanya di Asia Tenggara, mula beroperasi secara rasmi pada 13 Mei lalu.

Loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 dirakam Media Selangor ketika lawatan Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) ke fasiliti itu di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata loji yang dibina dalam tempoh dua tahun tujuh bulan itu mampu menguruskan sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana tenaga elektrik untuk kegunaan rakyat Selangor.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pengurusan sisa mampan menerusi penggunaan teknologi moden, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah konvensional.

Petugas loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 mengendalikan mesin pemprosesan sisa pepejal di fasiliti itu di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.