Loji WTE Jeram 1 jana 28MW tenaga, operasi lancar tanpa gangguan

25 Mei 2026, 2:00 PM
Loji WTE Jeram 1 jana 28MW tenaga, operasi lancar tanpa gangguan
Loji WTE Jeram 1 jana 28MW tenaga, operasi lancar tanpa gangguan
Loji WTE Jeram 1 jana 28MW tenaga, operasi lancar tanpa gangguan
Loji WTE Jeram 1 jana 28MW tenaga, operasi lancar tanpa gangguan

KUALA SELANGOR, 25 MEI: Loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 yang mula beroperasi secara komersial sejak 13 Mei lalu kini berjaya menjana tenaga sehingga 28 megawatt (MW) dengan operasi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) R Rajiv berkata pencapaian itu membuktikan teknologi menukar sisa pepejal kepada tenaga berjaya dilaksanakan di Selangor.

Katanya, antara cabaran utama projek WTE termasuklah memastikan proses pembakaran sisa dapat mengekalkan tahap kepanasan optimum bagi membolehkan penjanaan tenaga dilakukan secara konsisten.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) R Rajiv ketika sidang media selepas lawatan jawatankuasa itu ke loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Kerisauan adalah apabila projek WTE di Malaysia sebelum ini tidak berjaya dan satu cabaran adalah apabila pembakaran sampah. Jika tidak dapat kekalkan kepanasan dan jana tenaga, projek tidak akan berjaya.

“Tetapi melihat kepada 12 hari operasi komersial, dua faktor paling penting ialah pengeluaran tenaga. Reka bentuk WTE 1 mampu jana 25MW dan WTE 1 serta 2 nanti dijangka menghasilkan 50MW keseluruhannya.

“Kini pengeluaran WTE 1 mencapai 28MW, maksudnya kita berjaya menukar sampah kepada elektrik. Mereka juga memaklumkan sejak loji dibuka tiada penutupan dan ia beroperasi 24 jam,” katanya selepas mengadakan lawatan ke loji WTE Jeram 1 hari ini.

Loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 dirakam Media Selangor ketika lawatan Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) ke fasiliti itu di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong dan Ahli Dewan Negeri Taman Medan Dr Afif Bahardin.

Rajiv yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing berkata loji itu kini menguruskan kira-kira 1,500 tan sisa pepejal sehari melibatkan hampir 400 lori sampah daripada enam pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Reka bentuk WTE ini untuk membakar 1,500 tan sampah sehari, iaitu mungkin kurang 20 peratus daripada keseluruhan jumlah sampah di Selangor.

“Untuk WTE 2 nanti lagi 1,500 tan dan selepas itu projek di Tanjung 12 serta Rawang akan membantu memenuhi keperluan pembakaran sisa pepejal negeri.

“Bagi projek ini, pengurusan 1,500 tan sampah sehari nampaknya berjalan lancar dengan penglibatan enam PBT iaitu Subang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang Jaya, Klang dan Kuala Selangor,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Dr. Afif Bahardin ketika sidang media selepas lawatan jawatankuasa itu ke loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Dr Afif berkata operasi loji berkenaan menunjukkan perkembangan positif dan menjadi permulaan baik dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan sisa di Selangor.

“Pihak jawatankuasa agak berpuas hati dengan projek ini walaupun masih ada beberapa perkara yang sedang berjalan dan kita berharap pihak Worldwide dapat terus meningkatkan perkhidmatan.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri perlu membuat keputusan penting dalam pengurusan sampah kerana ia melibatkan beberapa pihak dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh,” katanya.

Loji sisa kepada tenaga (WTE) Jeram 1 dirakam Media Selangor ketika lawatan Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) ke fasiliti itu di Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Projek loji WTE Jeram 1 merupakan antara inisiatif utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah selain memperkukuh sistem pengurusan sisa negeri.

Loji WTE pertama di Selangor itu juga merupakan fasiliti terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dan menjadi antara projek utama negeri dalam memperkukuh pengurusan sisa serta penjanaan tenaga lestari.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Kerajaan Negeri memberi tumpuan lebih serius terhadap pembangunan industri WTE kerana sektor itu dilihat sebagai antara pemacu utama masa depan dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan keperluan tenaga lestari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.