Bapa harap anak hilang ketika aktiviti mendaki ditemukan

25 Mei 2026, 12:47 PM
Bapa harap anak hilang ketika aktiviti mendaki ditemukan

HULU SELANGOR, 25 MEI: Bapa remaja perempuan yang dipercayai sesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa di Tanjong Malim pada Sabtu lalu, berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya akan menemui petunjuk baharu.

Azizul Abdul Aziz, 48, berkata beliau dan seluruh keluarganya bagaimanapun reda dan pasrah dengan segala kemungkinan susulan kehilangan Nur Izzati Humaira, 18, yang masuk hari ketiga.

“Sama ada masih bernyawa ataupun sudah menjadi jasad, kami reda dan berharap dia dapat ditemukan segera,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba (PKB) di sini hari ini.

Azizul yang menetap di Felda Trolak Utara, di Batang Padang, Perak, berkata anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum hilang, sebaliknya kelihatan sangat gembira sejak kebelakangan ini selepas berjaya mendapat lesen memandu kereta.

Beliau berkata Nur Izzati Humaira juga baru bekerja di sebuah kedai makan berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungkai dan merupakan seorang remaja yang sangat aktif dalam sukan bola jaring.

“Walaupun sudah menamatkan persekolahan, dia sering kembali ke bekas sekolah menengahnya untuk membantu guru sukan melatih pasukan sekolah secara sukarela,” katanya.

Azizul berkata anaknya itu mula berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian sejak beberapa tahun lalu.

“Saya pernah mendaki bersama Nur Izzati Humaira di Gunung Belumut di Kluang, namun tidak dapat ikut untuk aktiviti Sabtu lepas,” katanya.

Beliau berkata ketika hari kejadian, remaja perempuan itu melakukan aktiviti mendaki bersama ibu, adik, ibu saudara dan dua orang sepupunya.

Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.

Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap dan seluar panjang hitam serta kasut biru.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.