Menjelang sambutan Aidiladha pada 27 Mei, penternak lembu antara individu yang paling sibuk menguruskan tempahan dan memastikan semua ternakan tiba ke destinasi mengikut jadual.
Bagi Mohd Zairi Sallehuddin, 49, beliau bertanggungjawab memastikan semua lembu yang dibeli dari Thailand seawal usia dua tahun cukup makan dan sihat sebelum dapat dijual kira-kira lapan bulan kemudian.
Sekalipun tidak menang tangan, kesihatan ternakan juga menjadi keutamaan supaya kualitinya sentiasa terjaga dan memenuhi kehendak pelanggan.
Berbanding tahun-tahun sebelumya, Mohd Zairi mengakui, tahun ini antara tempoh mencabar dalam perniagaannya disebabkan peningkatan kos bahan ternak susulan perang di Asia Barat serta penutupan Selat Hormuz.
Bagaimanapun, kenaikan kos tersebut ditampung bahan alternatif seperti penggunaan bahan buangan kelapa sawit dan menanam rumput napier (rumput gajah) sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan.
Lebih 20 tahun berkecimpung dalam ternakan lembu, penurunan jualan haiwan korban itu pada tahun ini sememangnya sudah dijangka.
Hanya 100 ekor lembu terjual tahun ini berbanding 200 ekor pada tahun sebelumnya.
Mendepani situasi ini, beliau berharap tempahan meningkat menjelang hari raya memandangkan masih ada pihak yang selesa membuat keputusan di saat akhir.
Bagi menangani isu bekalan lembu tempatan yang tidak mencukupi semasa Aidiladha pula, Mohd Zairi terpaksa mengimport ternakan dari Thailand untuk memenuhi permintaan pelanggan tempatan.
Lensa jurufoto Ahmad Zakki Jilan merakamkan rutin penternak lembu pada 18 Mei yang lebih sibuk menjelang Aidiadha serta usaha mereka mengimbangi permintaan dengan peningkatan kos kenaikan bahan kesan pergolakan di Asia Barat.















